comscore
Tumpuan :
Sukan

Chelsea “lupa” beli gol


LONDON: Chelsea gagal memanfaatkan hasil pelaburan besar dalam pasaran perpindahan musim ini apabila sekadar seri 0-0 dengan Fulham, awal pagi tadi.

Kelibat seperti Mykhailo Mudryk dan Enzo Fernandez turut gagal menyinar dalam kesebelasan utama ketika Chelsea melayan kunjungan Fulham di Stamford Bridge.

Fernandez membuat penampilan sulung untuk Chelsea selepas menjadi pemain termahal dalam bola sepak British dengan perpindahan bernilai 107 juta pound (RM549.3 juta) dari Benfica pada hari terakhir jendela perpindahan.

Chelsea memecahkan rekod dengan pelaburan melebihi 300 juta pound (RM1.54 bilion) sepanjang jendela perpindahan Januari menjadikan jumlah keseluruhan dibelanjakan pemilik baharu pada musim pertamanya melebihi setengah bilion pound (RM2.57 bilion)

Pemilik bersama, Todd Boehly dan Behdad Eghbali menyaksikan perlawanan awal pagi tadi, tetapi pasti pulang hampa selepas sekali lagi gagal untuk merapatkan jurang dengan kelompok empat teratas liga.

Skuad kendalian Graham Potter kini berada di tangga kesembilan liga, sembilan mata di belakang tempat kelayakan terakhir ke Liga Juara-Juara Eropah.

Fulham berjaya merakam kemenangan pertama mereka dalam pertemuan tetangga London Barat sejak tahun 2006 apabila kedua-dua pasukan bertemu tiga minggu lalu.

Anak buah Marco Silva kini berada dua mata dan tiga anak tangga di atas pesaing mereka itu selepas kembali ke liga utama musim ini.

Fulham begitu hampir untuk merakam kemenangan kedua berturut-turut dalam aksi liga ke atas Chelsea apabila Andreas Pereira membuat percubaan namun diselamatkan Kepa Arrizabalaga.

Walaupun berbelanja besar, ketiadaan penjaring prolifik sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Chelsea.

Kai Havertz mempunyai tiga peluang keemasan untuk memecah kebuntuan sebelum rehat, terutama menerusi hantaran Hakim Ziyech yang berjaya menembusi benteng Fulham.

Ziyech hampir menjadi pemain Paris Saint-Germain minggu ini namun Chelsea tersilap menghantar dokumen di minit-minit akhir jendela perpindahan pada Selasa. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini