comscore
Tumpuan :
Sukan

Cheng Hoe terus lebar rekod, rentak kemenangan Skuad Penyu lebur

Pemain Selangor FC meraikan gol semasa perlawanan menentang TFC yang berkesudahan 3-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium MBPJ. Foto: Facebook MFL

Oleh Saiyed Ismail Saiyed Hussin

PETALING JAYA: Magis Tan Cheng Hoe bersama Selangor FC berterusan apabila meletakkan pasukan itu menghampiri perlawanan akhir Piala Malaysia 2022, selepas merakam kemenangan di aksi pertama separuh akhir.

The Red Giants mengatasi Terengganu (TFC) 3-1 sekaligus melebarkan rekod tanpa kalah Merah Kuning kepada sembilan perlawanan sejak Cheng Hoe dilantik sebagai jurulatih hujung September lalu.

Lebih menarik, kesemua tiga gol yang dilakukan berpunca daripada ‘set-piece’ menyaksikan pemain tengah Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi paling cemerlang menerusi tiga bantuan jaringan dari gerakan sepakan penjuru.

“Itulah, setakat ini itulah kali pertama saya merasai pengalaman tiga sepakan penjuru menghasilkan tiga gol. Sudah tentu ia bukan nasib, kita ada buat latihan, saya begitu yakin dengan Mukhairi Ajmal yang mempunyai hantaran yang sangat bagus, itu sebab penyerang kita dapat menjaringkan gol,” luah Cheng Hoe selepas perlawanan.

Pelawat di hadapan apabila sepakan percuma Tchetche Kipre yang terlebih dahulu menghasilkan gol pembukaan perlawanan di hadapan lebih 14,000 penyokong di Stadium MBPJ minit ke-37.

Aksi berbalas serangan kedua-dua pasukan yang disajikan sehingga 90 minit permainan lebih memihak tuan rumah, apabila Richmond Ankrah, Herlison Caion dan Sharul Nazeem Zulpakar menanduk masuk hantaran lintang Mukhairi minit (M) ke-37, m-43 dan m-54 hingga memerangkap kubu pelawat dikawal Mohd Suhaimi Husin.

Cheng Hoe mengingatkan The Red Giants tidak terlalu selesa biarpun membawa kelebihan dua gol menuju pertembungan timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak 21 November ini.

Barisan Mohd Nafuzi Mohd Zain pulang hampa apabila momentum kemenangan sembilan perlawanan berturut-turut yang dilakar musnah, malah mempunyai misi sukar mengubah nasib di hadapan penyokong sendiri sekiranya ingin merampas slot perlawanan akhir Piala Malaysia dari tangan Selangor FC.

 

Loading...
Terkini