KUALA LUMPUR: Ratu wusyu negara, Tan Cheong Min terus mengharumkan nama Malaysia dengan meraih pingat emas dalam acara nangun pada Piala Dunia Taolu edisi ketiga di Yokohama, Jepun, hari ini.
Cheong Min yang juga juara dunia 2019 mengungguli pertandingan berkenaan dengan markah keseluruhan 9.770 mata, meninggalkan pesaing terdekat dari Hong Kong (9.756 mata) dan Vietnam (9.646 mata) yang masing-masing meraih perak dan gangsa.
Malaysia turut membawa pulang pingat perak menerusi Calvin Lee Wai Leong yang mencatat keseluruhan 9.760 mata dalam kategori nandao lelaki manakala Wong Weng Son berjaya meraih gangsa dalam kategori changquan lelaki dengan keseluruhan 9.780 mata.
Sementara itu, Pang Pui Yee menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara jianshu wanita dengan 9.756 mata di belakang wakil China yang meraih emas (9.796 mata), Vietnam (9.773 mata) dan Hong Kong (9.766 mata). – BERNAMA