comscore
Tumpuan :
Sukan

Cipta dua rekod baharu kebangsaan, Hoe Yan tampil kelas tersendiri

KUALA LUMPUR: Dua rekod baharu kebangsaan yang dicipta perenang muda negara  Khiew Hoe Yan pada Terbuka Australia membuktikan Malaysia masih memiliki perenang berpotensi untuk mencabar di pentas antarabangsa.

Hoe Yan, 21 mempamerkan peningkatan prestasi apabila memperbaharui rekod kebangsaan miliknya dalam acara 800 meter (m) gaya bebas.

Meskipun sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keenam catatan 8 minit 01.30 saat (s) sudah memadai buatnya  untuk meleburkan rekod lamanya 8:02.78s yang dilakukan ketika Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, dua bulan lalu

Pemenang pingat perak Kejohanan Dunia 2024, Elijah Winnington dari Australia mengungguli saingan dengan catatan 7:43.08s, mengatasi rakan senegara, Sam Short yang berada di kedudukan kedua dengan 7:43.98s.

Juara dunia 400m gaya bebas dari Korea Selatan, Kim Woo-min meraih pingat gangsa dengan catatan 7:49.69s.

Dua hari lalu,  Hoe Yan turut melakar satu lagi rekod baharu kebangsaan menerusi acara 400m gaya bebas.

Dia mencatat masa kepantasan 3:48.36s untuk menduduki tempat keempat, memperbaharui rekod kebangsaan miliknya 3:48.72s yang dilakukan ketika Kejohanan Dunia 2022 di Budapest, Hungary.

“Saya gembira dapat memperbaharui dua rekod kebangsaan di Australia. Saya akan terus bekerja keras dalam latihan bagi memperbaiki catatan masa saya,” kata Hoe Yan.

Catatan masa dilakukan Hoe Yan dalam acara 800m gaya bebas itu bagaimanapun masih belum cukup untuk melayakkan dirinya ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang mana dia perlu mencatat 7:51.65s.

Bagaimanapun dia masih berpeluang untuk melakukannya sebelum tarikh tutup kelayakan pada 23 Jun depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini