SUBANG JAYA: Kapten Harimau Malaya Dion Cools, mengharapkan penyokong dapat membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil untuk memberi sokongan kepada mereka pada aksi final Pestabola Merdeka 2024 menentang Lubnan malam esok.
“Saya harap penyokong boleh datang untuk memberi sokongan kerana kehadiran mereka memberi tenaga kepada kami. Jadi kami perlukan mereka.
“Kami akan cuba yang terbaik kerana kami mahu menjulang trofi ini di hadapan penyokong sendiri,” katanya.
Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir selepas mengalahkan Filipina 2-1.
Cools antara watak penting yang membuka laluan buat Syamer Kutty Abba menjaringkan gol penyamaan sebelum Safawi Rasid memastikan kemenangan Harimau Malaya menerusi sepakan penalti.
Mengenai debaran final malam esok. Cools akui tidak merasai sebarang tekanan ketika harapan tinggi diletakkan kepada skuad negara untuk menamatkan kemarau kejuaraan.
Pemain Buriram United itu menyatakan, ini adalah final kedua buat dirinya dan dia lebih suka untuk menjadikan tekanan sebagai motivasi bagi memberikan yang terbaik.
“Ini adalah peluang terbaik untuk memenangi pingat dan menambah kejuaraan dalam koleksi saya. Selepas sedikit kontroversi kerana tidak menyimpan pingat perak pada tahun lalu, jadi saya mahu menyimpan pingat emas pada tahun ini.
“Saya lebih suka menjadikannya sebagai satu perkara yang positif dan juga motivasi untuk final nanti,” katanya
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.