
KANSAS CITY: Jaringan tunggal penyerang Lille, Jonathan David ‘menghidupkan’ kembali kempen Kanada di Copa America selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas Peru, di sini, hari ini.
David yang kini menjadi tumpuan Manchester United dan Chelsea membuktikan ketajaman penyudahnya bagi memastikan Kanada meraih tiga mata ketika menentang Peru yang beraksi dengan 10 pemain di Stadium Children’s Mercy Park.
Perlawanan berlangsung dalam cuaca panas – dengan suhu 38 Celsius – sehingga menyaksikan salah seorang daripada pembantu pengadil rebah pada babak pertama permainan.
Kanada yang tewas 2-0 di tangan Argentina pada perlawanan pembuka tirai kejohanan minggu lalu, mendahului pada babak kedua selepas Peru terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Miguel Araujo diarah keluar padang kerana melakukan kekasaran ke atas pemain gantian, Jacob Shaffelburg.
Pengadil, Mario Escobar melayangkan kad kuning kepada Araujo susulan terjahan dilakukannya ke atas Shaffelburg namun pemerhatian VAR membuatkan Escobar mempunyai pandangan kedua dan kad kuning berkenaan kemudian bertukar kepada merah.
Keputusan itu menjadikan perlawanan memihak kepada Kanada yang terus melakukan asakan secara agresif sebelum kebuntuan jaringan berjaya dipecahkan David pada minit ke-74.
Kemenangan itu membolehkan Kanada berada di tangga kedua Kumpulan A di belakang Argentina. –
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.