comscore
Tumpuan :
Sukan

Dani Alves ditahan atas dakwaan serangan seksual

Pemain pertahanan Brazil, Dani Alves. – FOTO: AFP

BARCELONA: Pemain pertahanan Brazil, Dani Alves ditahan hari ini atas dakwaan melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita di sebuah kelab malam di sini, pada penghujung Disember lalu, kata polis.

Pemain berusia 39 tahun itu dipanggil ke balai polis Barcelona dan kini disoal siasat oleh hakim, kata jurucakap polis wilayah Catalonia.

Polis Catalan menerima aduan pada 2 Januari daripada seorang wanita yang mengatakan Alves menyentuhnya secara tidak wajar, kata polis.

Dakwaan serangan seksual itu berlaku di sebuah kelab malam popular Barcelona pada malam 30 dan 31 Disember, menurut laporan media Sepanyol.

Alves mengesahkan dia berada di kelab malam berkenaan pada masa itu tetapi menafikan sebarang salah laku.

Dia berkata kepada televisyen swasta Sepanyol Antena 3 awal bulan ini bahawa dia “tidak pernah melihat” wanita itu sebelum ini.

“Saya berada di sana, di tempat itu, dengan ramai orang berseronok. Semua orang tahu saya suka menari. Berseronok tetapi tanpa menceroboh ruang orang lain,” tambah bekas pemain Barcelona dan Juventus itu. – AFP

Loading...
Terkini