comscore
Tumpuan :
Sukan

De Jong disisihkan daripada skuad Euro 2024 Belanda

Buku lali Frenkie de Jong masih sakit setiap kali selepas latihan.

ROTTERDAM: Belanda membelasah Iceland 4-0 pada aksi persahabatan terakhir sebelum Euro 2024, tetapi terpaksa berangkat ke Jerman untuk kejohanan itu tanpa perancang utamanya, Frenkie de Jong.

De Jong sebelum ini dalam proses pemulihan daripada kecederaan buku lali yang menimpanya beberapa kali sepanjang musim ketika bersama Barcelona.

Dia cuba berlatih buat pertama kali dengan rakan sepasukan Belanda pada Ahad, selepas seminggu menjalani latihan berasingan, tetapi pemeriksaan semalam mengesahkan yang De Jong tidak sempat untuk pulih sepenuhnya.

Berita itu menjejaskan semangat Belanda walaupun merakam keputusan memberangsangkan di Stadium Feyenoord.

Keputusan pemeriksaan De Jong diumumkan sejurus selepas aksi menentang Iceland, tetapi pengendalinya Ronald Koeman berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepadanya beberapa jam sebelum sepak mula dan ia turut diketahui pemain-pemain Belanda.

“Ujian mengesahkan yang dia tidak dapat lakukan apa yang dia sepatutnya mampu lakukan. Buku lalinya masih sakit setiap kali selepas latihan.

“Dia tidak akan 100 peratus cergas untuk tiga minggu akan datang. Saya jangkakan perlawanan bertemu Poland (aksi pembukaan Kumpulan D) pasti akan menjadi sukar,” kata Koeman.

Pada perlawanan menentang Iceland, Belanda membuka jaringan menerusi Xavi Simons yang meledak gol sulungnya untuk negara pada penampilan ke-14.

Virgil van Dijk meledak gol kedua selepas rehat untuk jaringan keduanya dalam dua perlawanan berturut-turut sebelum Donyell Malen melebarkan kedudukan.

Wout Weghorst melengkapkan kemenangan Belanda di akhir permainan. Belanda akan bertemu Poland di Hamburg, Ahad ini, diikuti aksi menentang Perancis dan Austria. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini