
LONDON: Penyerang Arsenal, Eddie Nketiah memilih untuk beraksi dengan England bukannya Ghana kerana dia berasakan seperti satu ‘perkembangan sihat’ dalam kariernya dan berkata dia akan membuat penampilan sulung senior bersama Three Lions pada masa yang tepat.
Nketiah sudah cuba dipikat Ghana, yang mana pengurus semasa Chris Hughton mengesahkan bulan lalu mereka ada menghubungi penyerang itu.
Panggilan ke skuad England bagaimanapun sukar untuk ditolak, kata Nketiah.
“Ia benar-benar satu saat membanggakan buat saya, keluarga dan rakan,” kata Nketiah kepada wartawan semalam. “Ia satu perjalanan untuk ke sana – banyak turun dan naik.
“Sejurus panggilan diterima, ada tawaran menanti, ia sukar untuk ditolak dan sesuatu yang saya rasakan perkembangan sihat buat saya di peringkat ini.”
Dia boleh bermain untuk Ghana kerana ibu bapanya adalah warga Ghana.
Nketiah bagaimanapun menjadi tonggak utama skuad B-21 England dan muncul penjaring gol terbanyak mereka sepanjang zaman dengan 16 gol, selain mengukuhkan kedudukannya di bahagian serangan Arsenal, menjaringkan dua gol dalam empat aksi pertama mereka.
“Saya kini pemain yang lebih baik berbanding dua atau tiga tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di St George’s Park, pusat latihan skuad kebangsaan England.
“Saya hadir pada masa yang bagus dan saya berasa bagus ketika ini. Saya rasa yakin dan amat bersedia. Saya sedar masih perlu meningkat tetapi saya bukanlah produk yang lengkap.”
Keluarga Nketiah berada di rumah ketika dia menerima panggilan itu, katanya.
“Kedua ibu bapa saya amat terharu kerana mereka banyak berkorban untuk saya sampai ke sini,” katanya. “Seronok melihat kegembiraan dan kebanggaan di wajah mereka.”
Pada kelayakan Euro 2024, England muncul pendahulu Kumpulan C dengan empat kemenangan dalam empat perlawanan.
Mereka berdepan Ukraine di Wroclaw, Poland Sabtu ini sebelum bertemu Scotland pada aksi persahabatan di Hampden Park Selasa depan. – REUTERS