comscore
Tumpuan :
Sukan

Denmark, Albania layak, Itali selangkah ke Euro 2024

Pemain Denmark meraikan kejayaan layak ke Euro 2024 dari Kumpulan H selepas menundukkan Slovenia 2-1 pada aksi kelayakan di Copenhagen awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

COPENHAGEN: Denmark menempah tiket ke pusingan akhir Euro 2024 selepas menang 2-1 pada perlawanan genting menentang Slovenia.

Dalam Kumpulan H, kedua-dua pasukan mampu layak jika menang di Copenhagen tetapi tuan rumah lebih bertuah dengan gol pada setiap babak menerusi Joakim Maehle dan Thomas Delaney.

Jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand berkata, “Saya berpuas hati dengan keseluruhan pasukan. Saya berpuas hati dengan segala-galanya. Pemain merenung antara satu sama lain dan berkata ‘jom tunjukkan kepada mereka!'”

Denmark lebih banyak menguasai babak pertama dan usaha gigih mereka berbaloi apabila Maehle meluru ke dalam kotak penalti untuk menampan masuk satu hantaran silang pada minit ke-26.

Namun kelebihan itu hanya bertahan empat minit sebelum Erik Janza melencongkan satu sepakan percuma kaki kiri melepasi Kasper Schmeichel.

Perlawanan sengit itu bagaimanapun menjadi milik Denmark sembilan minit selepas rehat apabila Delaney tenang mengawal bola dan menyudahkan gol menarik dalam kotak penalti selepas menerima umpanan Jannik Vestergaard.

Terdahulu, Albania mengesahkan tempat ke Euro 2024 sekalipun melepaskan gol penyamaan lewat aksi ketika mereka seri 1-1 di Moldova.

Sokol Cikalleshi meletakkan pelawat di depan menerusi sepakan penalti pada babak pertama dan sekalipun Vladyslav Babohlo menyamakan kedudukan tiga minit sebelum tamat, satu mata itu sudah cukup memastikan Albania berakhir di tangga dua teratas Kumpulan E.

Ia adalah penampilan kedua Albania pada kejohanan utama selepas aksi sulung mereka pada Euro 2016.

Federico Chiesa dan Gianluigi Donnarumma meraikan kemenangan pasukan ke atas Macedonia Utara pada aksi kelayakan Euro 2024 awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

Sementara itu di Rome, Federico Chiesa meledak dua gol membantu Itali menang 5-2 ke atas Macedonia Utara awal pagi tadi, memberikan mereka kelebihan menjelang aksi penentuan dengan Ukraine Isnin ini bagi menempah tiket ke pusingan akhir.

Kemenangan dalam Kumpulan C itu bermakna Itali hanya perlukan seri menentang Ukraine bagi memastikan tangga kedua dalam kumpulan itu di samping England yang sudah layak ke pusingan akhir tahun depan di Jerman. – AGENSI

Loading...
Terkini