comscore
Tumpuan :
Sukan

Dibarisi pelayar wanita, UMT 2 sedia berikan cabaran

RLIR 2023, UMT 2 pertaruhkan pelayar-pelayar wanita

Oleh: Hasnida Hanim Ahmad Kamil

LANGKAWI: Buat julung kalinya selepas empat penampilan di Regatta Antarabangsa DiRaja Langkawi, RLIR.

Pasukan Pelayaran Universiti Malaysia Terengganu, UMT menyahut cabaran dengan menampilkan dua pasukan dalam Kelas Sports Boat.

Dan lebih mencuri tumpuan, pasukan UMT 2 muncul satu-satunya pasukan wanita yang bersaing pada edisi ke-19 ini.

Dibarisi enam pelayar terdiri daripada pelajar -pelajar Sarjana Muda Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim dari Pusat Latihan Pelayaran dan seorang kakitangan UMT.

Sekaligus muncul satu-satunya institusi pengajian tinggi, IPT di Malaysia yang mempunyai pasukan pelayaran.

Bagi, salah seorang krew pasukan UMT 2, Nurul Asyiqin Ibrahim, dia melahirkan rasa syukur kerana impian untuk beraksi pada kejohanan pelayaran berprestij dunia itu sebagai pasukan wanita akhirnya tercapai.

” Bagi kitaorang merupakan team perempuan yang pertama UMT hantar agak mencabar la untuk kitaorang sebab kita pun tahu beza tenaga lelaki dan wanita tapi tak nampak tu sebagai satu cabaran untuk kami.”

Selain Asyiqin UMT 2 turut dibarisi, dua bekas pelayar kebangsaan Nor Naeilah Nor Hassan, Nurul Izzryn Shamsul Ariffin, serta Nur Zulaikha Mohd Zafarin, Saiyidah Zainab Mohd Fadzlulah dan Nur Anul Izzati Zil Husham.

Dalam pada itu, RLIR 2023 turut menampilkan satu lagi pasukan lelaki UMT iaitu UMT 1, di ketuai jurulatih juga bekas pelayar kebangsaan, Ku Anas Ku Zamil.

Mereka mensasarkan untuk meraih kedudukan terbaik sekaligus meraih pingat pada penampilan ke-4 UMT di Regatta Antarabangsa DiRaja Langkawi ini.

“Misi kitaorang adalah cuba untuk bawa pingat balik tak kisah warna atau position yang penting kita bawa balik pingat dan berpuas hati dengan regatta kali ini.”

Untuk rekod pasukan pelayaran lelaki UMT sebelum ini berjaya meraih tempat ketiga pada Kejohanan Kapal Layar Antarabangsa di Korea Selatan November tahun lalu.

Loading...
Terkini