comscore
Tumpuan :
Sukan

Dipilih presiden baharu KLFA, Syed Yazid tumpu selesai gaji KL City

KUALA LUMPUR: Calon pilihan, Syed Yazid Syed Omar dipilih sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) bagi penggal 2024-2028 pada kongres pemilihan badan induk itu yang berlangsung di Cheras, hari ini.

Syed Yazid yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meraih 15 undi sekali gus mengetepikan penyandang Presiden KLFA, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang mendapat 12 undi.

Ketika ditemui selepas tamat kongres, Syed Yazid menegaskan tiada istilah ‘berehat’ untuk dirinya memandangkan dia perlu meletakkan sepenuh tumpuan dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji yang membelenggu skuad KL City FC ketika ini.

“Sebagai presiden, ini adalah amanah dan tanggungjawab berat yang perlu dipikul kerana tumpuan selepas ini adalah cara kami menyelesaikan isu tunggakan gaji.

“Namun, saya tidak boleh memberi garis masa mengenai bila isu terbabit boleh diselesaikan (sepenuhnya) kerana kita perlu adakan mesyuarat untuk meneliti jumlah sebenar tunggakan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Selain itu, fokus kita juga adalah untuk menaikkan kualiti pentadbiran pengurusan KL City FC serta mahu bertemu dengan barisan pemain selepas ini,” katanya.

Sementara itu, dua kerusi bagi timbalan presiden disandang Datuk Kamarudin Hassan dengan 18 undi dan Datuk Seri Wong Yeon Chai yang meraih 15 undi.

Empat naib presiden pula diisi Datuk Ramlan Askolani (17), Nor Asyikin Jaafar (15), Datuk Sham Gupta Sen Gupta (15) dan Datuk Mohd Hisamudin Yahaya (14).

10 kerusi exco KLFA pula diisi Muhammad Hanafi Jamalluddin (26), Amir Mahmood Abdul Razak (25), Mohd Zushaidey Zulkifli (16), Mohd Faizul Mohd Nor (16) Mohd Fadil Taib (16) dan Mohd Ismirul Azlan Bin Ismail (15).

Selain itu, Abdullah Izhar Mohamed Yusof (14), Datuk Mohamed Rozhan Mohd Ghazali (14) Khairul Azuan Abd Ghani (14) dan Abdullah Abdul Hamid (10).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini