Tumpuan :
Sukan

Djokovic tarik diri kerana cedera otot

Novak Djokovic memeluk Alexander Zverev selepas terpaksa menarik diri pada aksi separuh akhir Terbuka Australia kerana kecederaan hari ini. – FOTO: Reuters

MELBOURNE: Novak Djokovic berdepan detik mengecewakan selepas gagal menamatkan aksi separuh akhir Terbuka Australia, hari ini akibat kecederaan otot.

Djokovic terpaksa menarik diri akibat kecederaan selepas tewas set pertama 7-6 (5) kepada Alexander Zverev dan juara 10 kali itu keluar dari saingan yang menyakitkan di Rod Laver Arena.

Ia kecederaan kedua dialaminya di Grand Slam dalam tempoh setahun selepas menarik diri daripada Terbuka Perancis susulan masalah bahagian lutut, sebelum perlawanan suku akhir menentang Casper Ruud.

Empat bulan sebelum hari lahirnya yang ke-38, masa mungkin menjadi cabaran buat bintang Serbia itu, namun dia tetap bertegas bahawa masih banyak yang dia mahu berikan pada penghujung kerjayanya.

“Bukan saya bimbang untuk menghampiri setiap Grand Slam sama ada saya akan cedera atau tidak, tetapi statistik menjadi cabaran buat saya dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

“Jadi, memang benar (saya) mengalami kecederaan yang agak teruk beberapa tahun kebelakangan ini. Saya tidak tahu apa punca sebenar. Mungkin beberapa faktor berbeza.

“Namun, saya akan teruskan. Anda tahu, saya akan terus berusaha untuk memenangi lebih banyak Slam. Selagi saya berasa saya mahukan semua ini, saya akan sentiasa ada,” katanya.

Djokovic mara ke separuh akhir selepas mengatasi Carlos Alcaraz dalam aksi suku akhir yang memenatkan yang mana dia mengambil masa panjang untuk mendapatkan rawatan selepas set pertama. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini