
KUALA LUMPUR: Legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh mengesahkan akan bertanding jawatan Naib Presiden pada Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029 yang dijadualkan berlangsung pada 15 Februari depan.
Keputusan itu menyaksikan bekas pengendali skuad kebangsaan berkenaan terpaksa menolak pencalonannya bagi kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco).
Langkah tersebut secara tidak langsung mengelakkan beliau daripada bertanding bersama seorang lagi legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan yang turut dicalonkan untuk kerusi Exco.
Dollah menyatakan rasa terkejut apabila namanya dicalonkan dalam dua jawatan, memandangkan ini adalah kali pertama beliau bertanding dalam pemilihan badan induk tersebut.
Menurut Dollah, keputusan memilih untuk bertanding jawatan Naib Presiden selari dengan perancangan asalnya, kerana beliau sememangnya berhasrat untuk merebut kerusi tersebut.
“Saya dapat tahu (senarai nama calon) kira-kira jam 6 petang, semalam dan saya pun terkejut juga apabila ada dua nama saya dicalonkan. Mungkin ada sokongan kuat agaknya hingga dapat dua pencalonan.
“Jadi, kena fokus satu bermakna saya memang tumpu pada naib presiden dan terpaksa tolak pencalonan untuk jawatan Exco. Sejak dari awal memang saya nak bertanding naib presiden, jadi saya kekal dekat jawatan itu.
“Jika terpilih, saya bagi apa yang saya ada untuk membantu dan kalau tidak (terpilih), mungkin itu bukan rezeki saya. Kita serahkan kepada ahli gabungan untuk buat pilihan,” katanya kepada BH Sukan.
Dollah dan Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dicalonkan bagi jawatan naib presiden dan Exco, namun mereka perlu memilih hanya satu jawatan untuk bertanding menerusi jawapan balas dalam borang pengesahan penerimaan pencalonan yang perlu diserahkan selewat-lewatnya, Khamis ini.
Selain Mohd Azhar, Dollah akan berentap dengan Datuk Seri Rosmadi Ismail, N Saaran dan Syed Yazid Syed Omar untuk merebut empat kerusi naib presiden.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.