comscore
Tumpuan :
Sukan

Dorival jurulatih baharu Brazil

Dorival Junior dilepaskan Sao Paulo untuk membimbing skuad kebangsaan Brazil.- Foto: Reuters

SAO PAULO: Selepas menemui jalan buntu mendapatkan khidmat Carlo Ancelotti yang memilih kekal di Real Madrid, Konfederasi Bolasepak Brazil, CBF  mengumumkan Dorival Junior selaku ketua jurulatih baharu pasukan kebangsaannya, semalam.

CBF pada Jumaat memecat jurulatih sementaranya Fernando Diniz, dengan ‘alasan’ untuk mendapatkan jurulatih tetap sebagai persiapan ke Piala Dunia 2026 dan Dorival, yang dilahirkan di Brazil menjadi pilihan.

Persatuan Bolasepak Sao Paulo sebelum ini turut mengesahkan Dorival sudah meninggalkan kelab untuk berkhidmat selaku jurulatih pasukan kebangsaan Brazil.

Dorival membimbing  Flamengo menjuarai  Copa Libertadores dan Piala Brazil pada 2022 sebelum berhijrah ke  Sao Paulo.

Dia juga pernah mengendali  Atletico Mineiro, Athletico Paranaense, Internacional, Vasco da Gama, Fluminense and Palmeiras.

Kata Dorival, untuk merealisasikan impiannya hanya berlaku selepas mendapat pelepasan dari Sao Paulo sendiri.

Sementara itu Presiden Sao Paulo, Julio Casares mengucapkan selamat berjaya kepada Dorival menghadapi cabaran baharunya.

Brazil kini  bergelut dalam  kempen kelayakan Piala Dunia 2026, berada di tangga keenam, cuma menang dua daripada enam perlawanan dan tewas tiga kali.

Keputusan memecat Diniz susulan pemilihan semula  Ednaldo Rodrigues selaku Presiden CBF.

Loading...
Terkini