
SYDNEY: Perjalanan dua beregu campuran dan beregu lelaki di Terbuka Australia terhenti di pusingan kedua hari ini.
Juara Master Orleans dan Terbuka Taiwan Chen Tang Jie/ Toh Ee Wei tunduk kepada Rinov Rivaldy/ Pitha Haningtyas Mentari dalam aksi tiga set.
Beregu kebangsaan itu tumpas 16-21 di set pertama sebelum mengheret permainan ke aksi penentuan menerusi catatan 21-17.
Tang Jie/ Ee Wei yang diletakkan pilihan kelapan banyak melakukan kesilapan menyebabkan tumpas 19-21 dan merelakan wakil Indonesia itu ke suku akhir esok.
Dua lagi beregu senior profesional, masing-masing Shevon Lai/ Goh Soon Huat serta Teo Ee Yi/ Ong Yew Sin juga kecewa di Quaycentre.
Shevon/ Soon Huat tumpas kepada gandingan bukan pilihan dari Jepun Hiroki Midorikawa/ Natsu Saito dalam perlawanan yang memakan masa sejam tiga minit.
Pilhan kelima itu ditunjukkan jalan keluar dengan keputusan 17-21, 21-18, 17-21.
Nasib malang Ee Yi/ Yew Sin ketika berjumpa Lee Yang/ Wang Chi Lin berulang untuk minggu kedua berturut-turut.
Beregu negara itu gagal menebus kekalahan di pusingan kedua Terbuka Jepun minggu lalu dengan sekali lagi mengalami kekalahan dalam tiga set 21-18, 17-21, 19-21.