
MEDAN, INDONESIA: Kecemerlangan beregu campuran senior negara di Badminton Terbuka China yang sedang berlangsung, bagaikan memberi inspirasi buat pemain remaja yang turut beraksi di Medan dalam saingan Masters Indonesia.
Dua beregu campuran remaja turut melepasi pusingan suku akhir petang tadi untuk melangkah ke peringkat separuh akhir.
Lebih awal melayakkan diri, pasangan Roy King Yap dan Valerie Siow.
Mereka diberi tentangan sengit sebelum menyingkirkan gandingan Thailand, Pakkapon Teeraratsakul dan Phatamas Muenwong.
Pakkapon dan Phatamas sebelum ini menjadi perhatian apabila mengejutkan beregu tuan rumah Zachariah Josiahno Sumanti dan Hediana Julimarbela juga pilihan pertama kejohanan, pada pusingan pertama.

Roy King dan Valeree bagaimanapun cukup bersedia apabila menang 21-18, 2-19 dalam tempoh 37 minit.
Separuh akhir, mereka berdepan pasangan tuan rumah, Marwan Faza dan Jessica Maya Rismawardani.
Menyusul kemudian di gelanggang satu, gandingan Choong Hon Jian dan Go Pei Kei pula melangkah ke separuh akhir menewaskan beregu tuan rumah Zaidan Araffi Nabawi dan Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu.
Menang 21-16, beregu negara bagaimanapun gagal mengekang kebangkitan lawan yaang menang set kedua 21-18.
Sokongan padu penyokong tuan rumah tidak menjejaskan tumpuan Hon Gian dan Pei Kee pada set penentuan.

Perlawanan yang berlarutan 1 jam 6 minit itu berjaya diakhiri Hon Gian dan Pei Kee apabila menamatkan set penentuan 22-20.
Menanti pasangan negara pada separuh akhir esok, lawan dari Jepun Hiroki Nishi dan Akari Sato.
Bagaimanapun malang buat pemain perseorangan Aidil Sholeh Ali Sadikin.
Masalah kesihatan susulan keracunan makanan memaksa Aidil Sholeh menarik diri pada aksi suku akhir menentang pemain Jepun, Yushi Tanaka.