
PETALING JAYA: Cabaran Malaysia pada saingan Kejohanan Badminton Masters Korea yang bermula hari ini menyaksikan dua beregu lelaki negara tewas pada pusingan pertama sebentar tadi.
Beraksi di gelanggang dua, gandingan Lwi Sheng Hao dan Jimmy Wong yang memulakan saingan, nyata bukan tandingan beregu Taiwan, Lee Jhe Huei dan Yang Po Hsuan yang juga pilihan ke-3.
Pasangan negara tewas mudah 8-21, 11-21 cuma dalam masa 21 minit.

Sejurus kemudian di gelanggang empat, Yap Roy King dan Wan Arif Wan Junaidi turun beraksi.
Mereka yang juga berdepan lawan dari Taiwan, Lu Ming Che dan Tang Kai Wei bermula baik apabila menang set pertama 21-14.
Yap dan Wan Arif bagaimanapun gagal mengekalkan penguasaan menyaksikan beregu Taiwan bangkit dengan kemenangan 21-16 pada set kedua.
Set penentuan lebih sengit apabila kedua-dua beregu saling mengejar mata sehingga kedudukan terikat 18 sama.
Selepas dua kali menyelamatkan mata penamat lawan, Yap dan Wan Arif berpeluang untuk menang apabila mendahului 21-20.
Namun mereka melepaskan kesempatan itu menyaksikan beregu Taiwan menyamakan kedudukan sebelum menamatkan permainan 23-21.