comscore
Tumpuan :
Sukan

Dua gol sendiri Faes untungkan Liverpool

FOTO: REUTERS

LONDON: Pertahanan Leicester City, Wout Faes memberikan Liverpool peluang untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah selepas dua kali tertampan gol ke gawang sendiri dalam kekalahan 2-1 pasukannya di Anfield.

Kiernan Dewsbury-Hall meletakkan Leicester di depan seawal minit keempat, bagaimanapun ketumpulan jentera serangan Liverpool diselamatkan oleh kesilapan Faes.

Pada minit ke-38, Faes, yang beraksi pada musim pertamanya selepas berpindah dari Reims, cuba mengeluarkan bola hantaran Trent Alexander-Arnold tetapi ia menuju ke gawangnya sendiri, menewaskan penjaga gol Danny Ward.

Tujuh minit kemudian, percubaan Darwin Nunez melepasi Ward dan terkena tiang, tetapi Faes sekali lagi menyebabkan bola menerjah gawangnya sendiri.

Keputusan itu meletakkan Liverpool di tangga keenam, dua mata di belakang kelompok empat teratas, manakala Leicester di tangga ke-13.

“Ada ketika, saya rasa kami tidak bermain dengan baik hari ini. Namun apa yang penting ialah mendapatkan tiga mata dan kemenangan.

“Kami cuba untuk bangkit tetapi tidak cukup bagus dan kami menyedarinya. Kami menang, ia sesuatu yang positif, tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki,” kata pertahanan Liverpool, Virgil Van Dijk.

Sementara itu, aksi terakhir West Ham tahun ini diiringi cemuhan oleh penyokong sendiri selepas tewas 2-0 kepada Brentford.

Jaringan babak pertama Ivan Toney dan Josh Dasilva menambah tekanan ke atas pengendali West Ham, David Moyes yang tewas buat kali kelima berturut-turut dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

West Ham hanya satu anak tangga di atas zon penyingkiran manakala Brentford di tangga kesembilan.

Loading...
Terkini