comscore
Tumpuan :
Sukan

Dua perlawanan pemanas badan uji keserasian Harimau Muda

Hari kedua latihan sesi latihan skuad Harimau Malaya  B-23 di University Qatar di Doha, semalam.  – FOTO: Ihsan FAM

PETALING JAYA: Dalam meniti persiapan terakhir untuk menambah keserasian pasukan menghadapi Piala Asia B-23, bermula 15 April hingga 3 Mei 2024, di Doha, Qatar, skuad Harimau Malaya bawah 23 (B-23)  akan mengadakan dua perlawanan pemanas badan.

Skuad kendalian Juan Torres Garrido yang sudah berada di Doha dua hari lalu, akan berdepan skuad China B-23 diikuti pertemuan menentang skuad B-23 tuan rumah pada Ahad.

Malaysia B-23 yang berada dalam kumpulan D akan memulakan kempen Piala Asia B-23 bertemu Uzbekistan pada 17 April.

Diikuti perlawanan menentang Vietnam pada 20 April, kedua-duanya berlangsung di Stadium Antarabangsa Khalifa, Qatar.

Juan Torres Garrido ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan. – FOTO: Ihsan FAM

Skuad negara melengkapkan aksi kumpulan menentang Kuwait pada 23 April di  Stadium Al Janoub.

Persiapan Malaysia B-23  tampak sedikit terjejas apabila kehilangan 4 tonggak utama iaitu Richard Chin, Azam Azmi, Rahadiazli dan Ruventhiran yang mengalami kecederaan.

Perubahan terpaksa dilakukan oleh pengendali kelahiran Sepanyol itu sebelum terbang ke Qatar.

Posisi penjaga gol dijangka digalas Sikh Izhan Nazrel manakala antara yang diberi kepercayaan memagari benteng  pertahanan  Harith Haiqal, Ubaidullah Shamsul dan Umar Hakeem.

Ketika pengalaman ketua pasukan Mukhairi Ajmal  menjadi sandaran di bahagian tengah, barisan jentera serangan diharap mampu meledak diketuai penyerang J3 League, Luqman Hakim Shamsudin  dibantu T. Saravanan, Fergus Tierney, Aliff Izwan Yuslan, Haqimi Azim dan Mohd Alif Zikri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini