comscore
Tumpuan :
Sukan

Duke nyalakan peluang Australia ke pusingan 16 terakhir

FOTO: Facebook/ FIFA World Cup

Oleh Fariz Zolkarnain

AL WAKRAH: Australia kembali menyalakan peluang untuk mara ke pusingan 16 terakhir di Piala Dunia 2022 apabila menewaskan Tunisia 1-0 dalam aksi kedua kumpulan D, sebentar tadi.

Gol tunggal permainan dijaringkan oleh Mitchell Duke pada minit ke-23 selepas menanduk masuk hantaran Craig Goodwin.

Tunisia cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan, namun beberapa peluang keemasan terutamanya menerusi percubaan Mohamed Drager dan Youssef Msakni pada penghujung babak pertama gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Bersambung babak kedua, Tunisia terus mengasak dan dilihat lebih dominan dari segi penguasaan bola.

Bagaimanapun corak permainan itu tidak banyak mendatangkan masalah kepada benteng Australia sehingga tamat wisel permainan.

Australia kini melonjak ke tangga kedua kumpulan D dengan tiga mata, sementara Tunisia jatuh ke tangga tercorot hanya dengan satu mata.

Berbaki satu lagi perlawanan peringkat kumpulan, Australia dijadual menentang Denmark pada 30 November manakala Tunisia akan berdepan Perancis, juga pada hari yang sama.

Loading...
Terkini