Tumpuan :
Sukan

E-Sukan: Cabaran SRG berakhir, misi ‘Golden Road’ tidak jadi kenyataan

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

KUALA LUMPUR: Impian untuk menyaksikan pasuka Selangor Red Giants (SRG) mara ke ‘grand final’ Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang (MLBB M6) tidak kesampaian.

Aksi peringkat akhir ‘lower bracket’, SRG terpaksa akur dengan kekalahan 0-3 kepada Team Liquid Indonesia.

Membariskan Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie) dan dua pemain import, Mark Genzon Sojero Rusiana (Kramm) dan John Vincent Banal (Innocent), aksi sengit berjaya ditampilkan pada perlawanan pertama.

Bagaimanapun, kawalan kemas disajikan Team Liquid selain aksi cukup garang ditampilkan Sultan Muhammad (AeronnShikii) dan Favian Bayu Putra (Faviannn) menerusi hero masing-masing, ‘Granger’ dan ‘Joy’.

Dan selepas bertarung selama hampir 26 minit, kemenangan akhirnya memihak Team Liquid, memaksa SRG untuk tampil dengan strategi lebih ampuh.

‘Game’ kedua, walaupun Innocent dengan hero ‘Granger’ berjaya mempamerkan aksi baik, namun AeronnShikii dan Faviannn terus menjadi pemusnah menyaksikan kemenangan kedua diraih Team Liquid dalam tempoh 18 minit.

Usaha SRG untuk bangkit pada ‘game’ ketiga juga tidak menjadi kenyataan selepas dominasi disajikan Team Liquid.

Faviannn yang menggunakan hero ‘Suyou’ menjadi pemusnah dengan Team Liquid hanya mengambil masa hampir 11 minit saja untuk menutup aksi.

Sekaligus pasukan dari Indonesia ini mengesahkan tiket ke grand final menentang Fnatic Onic Filipina jam 5 petang esok.

Sementara SRG, terpaksa akur menamatkan kempen M6 di kedudukan ketiga, menyamai pencapaian yang dilakar pasukan Todak pada kempen M1 lima tahun lalu.

Lebih perit, misi SRG untuk mencipta ‘Golden Road’ tidak kesampaian berikutan kekalahan yang dialami di Axiata Arena.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini