Tumpuan :
Sukan

E-Sukan: Malaysia rangkul gelaran juara dunia IESF

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

KUALA LUMPUR: Nama Malaysia sekali lagi berkumandang di bumi Riyadh, Arab Saudi selepas skuad Mobile Legends Bang Bang, MLBB kebangsaan berjaya merangkul kejuaraan pada Kejohanan Dunia E-Sukan IESF 2024.

Pertemuan Grand Final menentang Filipina, Malaysia berjaya merakam kemenangan bersih 2-0.

Malaysia yang membariskan hampir sepenuhnya pemain Selangor Red Giants (SRG) diketuai Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie), Ilman Zareef Zulkifli (Gojes) dan ‘Gold Laner’ pasukan JP Niners, Ealtond Rayner (Lolealz) jelas turun dengan misi balas dendam selepas kekalahan dalam peringkat kumpulan menentang Filipina sebelum ini.

‘Game’ pertama, perlawanan berlangsung cukup sengit antara kedua-dua pasukan, saling berbalas serangan untuk mendapatkan kelebihan.

Stormie dengan hero ‘Valentina’ menjadi watak penting pasukan negara apabila pertarungan yang berlarutan sehingga 22 minit itu akhirnya menjadi milik Malaysia.

Filipina cuba bangkit pada perlawanan seterusnya dengan penguasaan awal yang disajikan.

Namun, dengan strategi kemas yang dimainkan skuad negara, kelebihan mula memihak Malaysia dengan aksi seimbang terus disajikan kesemua pemain negara.

Dan selepas hampir 13 minit beraksi, kristal pasukan Filipina akhirnya berjaya dimusnahkan, memberi petanda, Malaysia meraih gelaran juara menerusi kemenangan 2-0.

Selaku juara, Malaysia turut membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$70,000 selain trofi kejuaraan.

Paling utama, semestinya ia menjadi tonik positif terutamanya buat pemain-pemain SRG yang bakal turun dengan satu lagi misi penting selepas ini, Kejohanan Dunia MLBB M6 yang akan berlangsung di laman sendiri tidak lama lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini