Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
PUTRAJAYA: Team Vamos berjaya mengunci slot ke peringkat ‘playoff’ Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang (MLBB M6) selepas menyingkirkan wakil Amerika Syarikat, Blood Thirsty Kings (BTK) pada saingan pusingan kelima ‘Swiss Stage’.
Kemenangan cukup meyakinkan 2-0 dirakam Team Vamos untuk menghantar pulang BTK, sekaligus mengesahkan tempat pasukan dari Malaysia di peringkat playoff pada saingan M6 kali ini.
Team Vamos dibarisi Muhd Nazhan Mohd Nor (Chibi), selain Mohd Zul Hisham Mohd Nor (Xorn), Rizky Agustian (Warlord), Aeliff Adam Md Ariff (Smooth) dan Kenneth Sablande Barro (Nets) berdepan cabaran sengit BTK pada ‘game’ pertama terutamanya menerusi penggunaan hero ‘Alpha’ oleh Michael Cusgun (MobaZane) dan Ziameth-Jei Caluya (Zia) yang menggunakan hero ‘Beatrix’.
Namun, Xorn yang menggunakan hero ‘Carmilla’ jelas menjadi pemain penting pasukan disamping bantuan Warlord dengan hero ‘Cecilion’ untuk mengawal gerakan lawan.
Dan memasuki minit ke 16, Team Vamos cemerlang menutup permainan untuk mengutip mata pertama.
‘Game’ kedua, pemilihan hero lebih kurang sama dengan Xorn kekal menggunakan hero ‘Carmilla’, Warlord ‘Cecilion’ dan Chibi menggunakan hero ‘Suyou’.
Kali ini, dominasi disajikan Team Vamos terutamanya menerusi Chibi yang berjaya mendapatkan 6 ‘kills’, dengan Nets yang menggunakan hero ‘Irithel’ turut bermain cukup baik.
Dan selepas bertarung hampir 13 minit, Team Vamos berjaya memusnahkan kristal BTK, sekaligus menoktahkan kemenangan 2-0 pada perlawanan yang menggunakan format ‘best of 3’ ini.
Lebih gah, kemenangan ini turut mengesahkan tempat Team Vamos di peringkat ‘playoff’ yang akan kembali bersambung pada Sabtu nanti.
Undian peringkat playoff akan dijalankan sebaik kesemua perlawanan pusingan kelima ‘Swiss Stage’ berakhir nanti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.