comscore
Tumpuan :
Sukan

England masih di kedudukan terbaik – Kane

Kapten England, Harry Kane (tengah) menegaskan pasukannya masih berada di landasan terbaik untuk layak ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2022 di Doha, Qatar. – FOTO: REUTERS

AL KHOR: Kapten England, Harry Kane percaya mereka masih berada di posisi selesa untuk melangkah ke pusingan kalah mati Piala Dunia meskipun dikecewakan tanpa jaringan ketika menentang Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Skuad kendalian Gareth Southgate memulakan kempen di Qatar dengan baik selepas menewasksan Iran 6-2, namun tidak berupaya untuk melakar kemenangan ke atas AS.

Satu mata diraih itu mengekalkan England di puncak Kumpulan B dan mereka akan mara ke pusingan 16 terbaik sekiranya mampu mengelak kekalahan dengan perbezaan emat jaringan di tangan Wales, Selasa ini.

“Dalam perlawanan menentang Iran, kami mengambil peluang dengan sangat baik. Hari ini, kami hanya memperoleh dua atau tiga dan kami tidak dapat melakukan penyudah baik daripadanya.

“Keputusan seri ini bukanlah pengakhiran buat kami, namun ia meletakkan kami berada di satu posisi hebat dalam kumpulan dan kami amat menantikan perlawanan seterusnya.

“Kami tahu, kami boleh bermain dengan lebih baik berbanding itu. Namun ia adalah seri di Piala Dunia, tidak ada perlawanan mudah di Piala Dunia.

“Selepas prestasi pertama kami, orang ramai menyangka kami akan menewaskan semua pasukan yang kami temui, namun itu bukan situasinya,” kata Kane.

Dalam pada itu, Southgate menjangkakan, ia mungkin sesuatu yang sukar buat pasukannya untuk mencapai prestasi terbaik seperti dilakukan ke atas Iran.

“Saya tahu, selepas prestasi itu, ia mungkin sukar untuk mengulanginya, jadi saya sangat bersyukur dengan apa yang ditunjukkan pemain,” kata Southgate. – BERITA HARIAN/AFP

Loading...
Terkini