comscore
Tumpuan :
Sukan

England tewas ketika bereksperimen pada persiapan EURO 2024

Pemain muda Brazil, Endrick (tengah) menolak masuk bola ke gawang England ketika aksi persahabatan antarabangsa di Wembley, London. – Foto: Reuters

LONDON: England tewas 0-1 kepada Brazil dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang disifatkan pengendalinya, Gareth Southgate sebagai satu eksperimen.

Southgate melakukan banyak pertukaran dengan memasukkan beberapa muka baharu dalam skuadnya termasuk Kobbie Mainoo dari manchester United dan Anthony Gordon, Newcastle United.

Namun England, yang juga turun tanpa beberapa tonggak utamanya termasuk kapten Harry Kane, tidak banyak menguji Bento yang tampil buat pertama kali di gawang Brazil.

Skuad Brazil yang dibelenggu kecederaan, menang pada perlawanan pertama di bawah pengendali baharu, Dorival Junior.

 

Gareth Southgate dan Dorival Junior.- Foto: Reuters

Pemain gantian berusia 17 tahun, Endrick meledak gol tunggal permainan di Wembley pada minit ke-80.

Endrick, yang akan menyertai Real Madrid dari Palmeiras pada Julai, mudah menolak masuk bola ke dalam gawang tuan rumah selepas penjaga gol England, Jordan Pickford menepis percubaan Vinicius Jr ke arahnya.

Brazil, yang bergelut dalam aksi kelayakan Piala Dunia dan menurunkan lima muka baharu dalam kesebelasan utamanya, mempunyai peluang membuka jaringan pada minit ke-35 menerusi Lucas Paqueta.

England akan meneruskan persiapan untuk Euro 2024 pada Selasa apabila melayan kunjungan Belgium dalam satu lagi aksi persahabatan di Wembley, manakala Brazil akan berdepan Sepanyol di Madrid pada hari sama. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini