IPSWICH: Ipswich Town meraih keputusan seri kali keempat berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi apabila mereka mengikat Aston Villa 2-2 di Portman Road bila mana Liam Delap membuka tirai jaringan buat tuan rumah sebelum meraih gol penyamaan pada babak kedua.
Morgan Rogers dan Ollie Watkins meledak gol buat Villa pada separuh masa pertama sebelum Delap meraih gol keduanya namun kedua-dua pasukan gagal mencari gol kemenangan ketika Ipswich masih tercari-cari kemenangan pertama mereka sekembalinya ke EPL.
Villa terlepas peluang untuk menyamakan mata dengan pendahulu Liverpool apabila pasukan kendalian Unai Emery menghuni tangga kelima dengan 13 mata – di belakang Chelsea menerusi perbezaan jaringan – manakala Ipswich di tangga ke-15 dengan empat mata.
Ipswich mendahului pada minit kelapan apabila Villa gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dan Jack Clarke mengumpan kepada Delap, yang mana rembatan padunya melepasi penjaga gol Emiliano Martinez.
Namun Villa membalas tujuh minit kemudian apabila Jacob Greaves kehilangan bola, dengan Rogers menyambarnya dalam kotak penalti, bermain satu dua dengan Watkins sebelum merembat masuk bagi gol penyamaan.
Portman Road senyap seketika tidak lama kemudian apabila Leon Bailey melakukan hantaran silang yang melepasi dua pertahanan tengah Ipswich dan Watkins menjadikan kedudukan 2-1 dengan tandukan bagi gol keempatnya musim ini.
Tuan rumah mempunyai dua peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan tetapi Martinez menyelamatkan Villa apabila dia menumbuk keluar rembatan kencang Kalvin Phillips sebelum menafikan Delap yang meluru untuk menjaringkan gol.
Separuh masa kedua tidak begitu sengit seperti babak pertama ketika kedua-dua pasukan lebih berhati-hati.
Bagaimanapun Ipswich menyamakan kedudukan menerusi serangan balas pantas selepas 72 minit, apabila Delap mengatasi perangkap ofsaid dan menggelecek pemain pertahanan Diego Carlos sebelum menewaskan Martinez. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa