comscore
Tumpuan :
Sukan

EPL: Arsenal kembali pintas City

Pemain Arsenal, Leandro Trossard (tiga dari kanan) menyumbat gol tunggal kemenangan ke atas Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, Manchester awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

MANCHESTER, England: Impian Arsenal untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) masih belum terpadam apabila mereka kembali ke puncak carta liga selepas menang tipis 1-0 ke atas Manchester United di Old Trafford awal pagi tadi.

Kemenangan itu sekali gus memastikan kejuaraan akan ditentukan pada minggu terakhir musim.

Leandro Trossard menyumbat gol tunggal kemenangan selepas 20 minit ketika Arsenal hanya menang kali kedua dalam 17 perlawanan di United untuk melonjak satu mata di depan Manchester City.

Namun City masih berpeluang menentukan kejuaraan ketika juara bertahan itu masih berbaki dua perlawanan berbanding Arsenal satu.

Bagaimanapun, The Gunners terus menekan anak buah Pep Guardiola menjelang kunjungan getir mereka ke Tottenham awal pagi Rabu ini.

“Sejarah kami tidak begitu manis (di sini) tetapi kami menemui cara untuk memenanginya dan ia membuktikan betapa pasukan ini terlalu inginkan kemenangan,” kata bos Arsenal, Mikel Arteta.

Pemain Arsenal, William Saliba dan Gabriel Magalhaes meraikan kemenangan 1-0 ke atas Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, Manchester awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

“Kami mahu mengetuk pintu itu dan membuka kotak impian di depan penyokong kami sendiri dengan peluang untuk memenangi Liga Perdana.”

Arsenal akan menerima kunjungan Everton pada hari terakhir musim Ahad depan, manakala City melayan West Ham.

Kekalahan menyukarkan lagi peluang United untuk bertanding di Eropah musim depan.

Anak buah Erik ten Hag mempamerkan semangat lebih tinggi berbanding ketika dibelasah 4-0 oleh Crystal Palace minggu lalu, tetapi kini hanya menang sekali dalam lapan aksi terakhir EPL.

United kekal di tangga kelapan liga, tiga mata di belakang kedua-dua Newcastle, yang akan ditemui mereka awal pagi Khamis ini dan Chelsea. – AGENSI.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini