Tumpuan :
Sukan

EPL: Chelsea bangkit selepas ketinggalan 2 gol, benam Spurs 4-3

Pemain Chelsea, Cole Palmer menyempurnakan sepakan penalti dengan gaya Panenka ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Tottenham Hotspur di Stadium Tottenham Hotspur, London. FOTO: Reuters

LONDON: Enzo Maresca menganggap kebangkitan Chelsea ketika menewaskan Tottenham Hotspur 4-3 sebagai kemenangan sempurna yang meletakkan mereka di tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL).

Chelsea ketinggalan dua gol selepas 11 minit apabila kesilapan Marc Cucurella membolehkan Dominic Solanke dan Dejan Kulusevski meledak jaringan untuk tuan rumah.

Bagaimanapun Chelsea bangkit dengan empat gol, dua penalti Cole Palmer termasuk sepakan ala Panenka, manakala Jadon Sancho dan Enzo Fernandez turut menemui sasaran.

Spurs bangkit merapatkan jurang menerusi Son Heung-min di akhir masa kecederaan.

Chelsea yang bermain lebih satu perlawanan berbanding Liverpool, kini hanya empat mata di belakang pendahulu itu.

Ia adalah kemenangan keempat berturut-turut Chelsea dalam saingan liga, namun pengendalinya, Maresca masih menganggap pasukannya belum bersedia merebut kejuaraan.

“Untuk datang ke stadium ini dan menganggap anda boleh menang dan tidak menderita, ia sesuatu yang mustahil. Ia kemenangan sempurna kerana faktor ini.

“Selepas perlawanan, saya beritahu pemain-pemain untuk fokus dari hari ke hari, sesi latihan kami, perlawanan seterusnya adalah pada Khamis dan kemudian Ahad.

“Fokus utama adalah untuk menikmati hari rehat dan apabila kembali, 100 peratus, berlatih dengan baik, dan bersungguh-sungguh untuk perlawanan.

“Peminat boleh menanam impian kerana dari luar, ia sangat jelas dan di dalam, realitinya kami belum bersedia tetapi apa yang penting ialah kami semakin baik setiap hari,” kata Maresca.

Cucurella dua kali terjatuh kerana memakai kasut yang kurang sesuai, dan kesilapannya dimanfaatkan Tottenham untuk mendahului permainan.

Palmer kini terbabit dalam 50 gol EPL sepanjang 48 perlawanan untuk Chelsea sejak menyertai mereka dari Manchester City – 33 gol dan 17 bantuan gol. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini