
LONDON: Jaringan lewat yang terbias daripada Lisandro Martinez membantu Manchester United menang 1-0 di Fulham pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.
Mengintai hanya kemenangan keempat liga sejak jurulatih Ruben Amorim menggantikan Erik ten Hag pada November, United tidak banyak mencipta peluang pada babak pertama yang hambar di Craven Cottage.
Pelawat bagaimanapun meningkat selepas rehat dan meraih sedikit tuah ketika mereka amat memerlukan kemenangan, dengan percubaan jarak jauh pertahanan Argentina, Martinez terbias sebelum menerjah jaring pada minit ke-78.
Tindakan pemain muda gantian United, Toby Collyer menyelamatkan bola di atas garisan tepat pada masanya membantu pelawat pulang dengan kemenangan ketika anak buah Amorim menginjak sedikit ke tangga ke-12, empat mata di belakang pasukan tangga ke-10 Fulham.
“Saya fikir saya bernasib baik, tetapi ia satu kemenangan penting,” kata Martinez kepada TNT Sports.
“Saya gembira dengan cara kami memenangi perlawanan ini. Tidak kisah siapa yang menjaringkan gol – paling penting adalah tiga mata.
“Ia terlalu bermakna. Bukan hanya kepada peminat, tetapi buat kami kerana kami banyak menderita. Ia satu kemenangan sukar, di kelab ini tekanan terlalu tinggi, tetapi kami ada di sini. Kami tahu betapa sukarnya ia. Malah satu perlawanan seperti hari ini kami perlu menang dan merendah diri selepas menang.”
Semuanya tidak begitu menjadi buat Amorim di England setakat ini. Menjelang aksi awal pagi tadi, United kalah enam daripada sembilan aksi liga mereka.
Dengan persembahan seburuk itu, pelawat kelihatan kekurangan idea pada babak pertama yang mengecewakan.
Sepakan percuma bijak kapten United, Bruno Fernandes hampir membantu pelawat mendahului pada awal babak kedua, tetapi mereka memerlukan sedikit tuah bagi gol pertama dan satu-satunya percubaan tepat pada perlawanan itu untuk memastikan kemenangan.
Hadangan Collyer mengekang tandukan Joachim Andersen ternyata penting, dengan pemain gantian Fulham, Rodrigo Muniz mensia-siakan dua peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada babak terakhir.
Malah Amad Diallo berjaya meletakkan bola dalam jaring pada masa kecederaan ketika pemain Ivory Coast itu berasakan dia memastikan tiga mata, tetapi dia dipersalahkan kerana ofsaid susulan semakan VAR.
Kemenangan kelapan liga berturut-turut di Fulham bermakna United kini menang empat daripada lima aksi terakhir mereka dalam semua pertandingan.
“Satu percubaan tepat daripada Manchester United – hanya nasib menyebelahi mereka,” kata jurulatih Fulham, Marco Silva.
“Kami pasukan yang lebih banyak mendominasi. Kami ada dua atau tiga detik bagus untuk menjaringkan gol tetapi saya tidak ingat sebarang detik berbahaya daripada Manchester United.” – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.