Tumpuan :
Sukan

EPL: Gol Omari kecewakan Amorim pada perlawanan pertama bersama MU

Pemain Ipswich Town, Omari Hutchinson (kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Manchester United di Portman Road, Ipswich. – FOTO: Reuters

IPSWICH: Manchester United sekadar seri 1-1 menentang Ipswich Town pada perlawanan pertama di bawah kendalian Ruben Amorim.

Jaringan pembukaan Marcus Rashford pada minit kedua diimbangi oleh gol Omari Hutchinson di akhir babak pertama aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan.

United mengejutkan penyokong tuan rumah di Portman Road apabila membuka jaringan hanya selepas 81 saat permainan bermula.

Amad Diallo melakukan larian hebat di sebelah kanan sebelum mengumpan bola kepada Rashford yang menjaringkan gol dengan sentuhan pertamanya pada perlawanan itu.

Penjaga gol United, Andre Onana menafikan percubaan Liam Delap di babak pertama tetapi tertewas selepas rembatan Hutchinson yang terkena kepala pertahanan, Noussair Mazraoui pada minit ke-43.

Selepas rehat, penyerang Ipswich, Sam Szmodics hampir menjaringkan gol dengan sepakan tumit, tetapi diselamatkan Onana.

Keputusan itu meletakkan United di tangga ke-12 dengan 16 mata, enam mata di belakang kelompok empat teratas. Ipswich di tangga ke-18 pada sembilan mata.

Jonny Evans, Christian Eriksen dan Alejandro Garnacho kembali membarisi kesebelasan utama United dengan Amorim, 39, melakukan tiga pertukaran ke atas skuad yang menewaskan Leicester pada perlawanan terakhir di bawah kendalian Ruud van Nistelrooy dua minggu lalu.

Amorim menggantikan Erik ten Hag selepas pengendali dari Belanda itu dipecat dan peminat tidak sabar menyaksikan impak bakal dibawa pengendali dari Portugal itu.

Ia adalah kunjungan liga pertama United ke Ipswich selepas 22 tahun – dengan Van Nistelrooy menjaringkan gol tunggal ketika itu. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini