LONDON: Pemain pertahanan remaja Bournemouth, Dean Huijsen mencetus kemenangan mengejut 1-0 ke atas Tottenham yang memberi satu lagi tamparan terhadap harapan mereka untuk berakhir dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.
Huijsen meledak gol pada babak pertama di Stadium Vitality sekali gus menyaksikan pasukan bermasalah kendalian Ange Postecoglou hanya menang sekali dalam enam aksi terakhir bagi semua pertandingan.
Gol sulung pemain pertahanan berusia 19 tahun itu dalam kancah bola sepak Inggeris selepas berpindah dari Juventus pada awal musim ini mendedahkan kepincangan benteng pertahanan Tottenham.
Tottenham yang beraksi hambar bernasib baik tidak kalah dengan jurang lebih besar apabila pasukan kendalian Andoni Iraola mensia-siakan beberapa peluang baik untuk mengukuhkan kedudukan.
Kekalahan keenam Tottenham dalam liga musim ini satu lagi tamparan buat Postecoglou yang berdepan kecaman selepas kecewa seri 1-1 dengan Fulham yang beraksi 10 pemain di laman sendiri hujung minggu lalu.
Sesudah melepaskan peluang keemasan untuk layak ke Liga Juara-Juara musim lalu, Postecoglou kini mula mendengar kritikan terhadap taktik terlalu menyerangnya dan persembahan buruk ini pasti disukai pengkritik warga Australia itu.
Tottenham terdampar di tangga ke-10, enam mata di belakang kelompok empat teratas menjelang aksi musuh tetangga London menentang pasukan tangga kedua Chelsea, Ahad ini.
Bournemouth di tangga kesembilan kini sudah menundukkan Arsenal, Manchester City dan Tottenham di laman sendiri musim ini.
Pemain Bournemouth, Evanilson hampir menghukum kesilapan Radu Dragusin dan Destiny Udogie dengan percubaan jarak dekat yang ditumbuk penjaga gol Fraser Forster bagi sepakan penjuru.
Namun kelegaan Tottenham tidak bertahan lama apabila The Cherries mendahului menerusi sepakan penjuru berikutnya pada minit ke-17.
Marcus Tavernier melencongkan sepakan sudutnya ke arah pintu gol dan Huijsen mudah melepasi kawalan benteng pertahanan Tottenham untuk menanduk masuk dari jarak lima ela. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.