
LONDON: Arsenal membuktikan mereka serius dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila membelasah juara bertahan, Manchester City 5-1 di Stadium Emirates.
The Gunners kini belum tewas dalam 14 aksi liga dan mengumpul 50 mata daripada 24 perlawanan dengan pendahulu, Liverpool pada 56 mata selepas 23 perlawanan. Manchester City keempat pada 41 mata.
Arsenal sebelum ini dikatakan terlalu bergantung kepada situasi bola mati untuk menjaringkan gol, tetapi pada perlawanan malam tadi, mereka bermain dengan berkesan untuk merakam kemenangan liga terbesar di laman sendiri musim ini.
“Ia adalah permainan terbaik, persembahan hebat dengan peminat dan suasana yang sangat menakjubkan, jadi amat gembira. Saya rasa kami berhak dengan kemenangan ini,” kata kapten Martin Odegaard.
Skuad kendalian Pep Guardiola., yang deretan enam perlawanan tanpa kalah dalam liga sebelum ini, seakan menghidupkan kembali misi mempertahankan kejuaraan musim ini, dibayangi kehebatan anak buah Mikel Arteta.
“Ia sukar. Saya rasa kami semua sukar menerima kekalahan ini. Bagaimana kami bermain pada 30 minit terakhir tidak dapat diterima,” kata pertahanan City, John Stones.
City menghadiahkan gol pembukaan buat Arsenal apabila Kai Havertz merampas bola daripada Manuel Akanji dan mengumpannya untuk jaringan Odegaard.
Erling Haaland yang hanya menyentuh bola sebanyak enam kali di babak pertama, akhirnya menanduk masuk hantaran Savinho pada minit ke-55.
Arsenal kembali di depan selepas rembatan Thomas Partey terkena Stones dan menewaskan Stefan Ortega di gawang City buat kali kedua.
Myles Lewis-Skelly menambah jaringan selepas menerima hantaran Declan Rice dan Havertz akhirnya menemui sasaran selepas menyempurnakan hantaran Martinelli.
Pemain gantian Arsenal, Ethan Nwaneri menambah derita City dengan sepakan lencong untuk melengkapkan kemenangan tuan rumah.
“Anda tidak akan menang dengan cara kami bermain, kami mampu menjaringkan tiga lagi tetapi pasukan perlu stabil,” kata Guardiola. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.