LIVERPOOL: Liverpool melebarkan jurang di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada lima mata selepas jaringan Darwin Nunez dan Mohamed Salah memberikan kemenangan 2-0 ke atas Aston Villa di Anfield.
Kekalahan 2-1 Manchester City kepada Brighton pada aksi sebelumnya membuatkan anak buah Arne Slot lebih bersemangat untuk memburu tiga mata dan Nunez membuka jaringan pada minit ke-20.
Penjaga gol Liverpool, Caoimhin Kelleher turut beraksi cemerlang menafikan beberapa percubaan Villa dan Salah memastikan kemenangan pada minit ke-84 untuk mengekalkan permulaan sensasi kelab di bawah kendalian Slot.
Mereka memenangi 15 daripada 17 perlawanan dalam semua pertandingan sejak pengendali dari Belanda itu menggantikan Jurgen Klopp akhir musim lalu.
Liverpool akan menuju ke rehat perlawanan antarabangsa dengan 28 mata selepas 11 perlawanan, manakala juara bertahan, City pada 23 mata.
Kekalahan liga ketiga Villa musim ini meletakkan mereka di tangga kelapan pada 18 mata.
Selepas jadual selesa di awal musim, Liverpool kini seri menentang Arsenal di Emirates, menewaskan Brighton and Hove Albion yang berbahaya, dan membelasah juara Bundesliga, Bayer Leverkusen.
“Kami mempunyai pemain-pemain yang sangat pantas dalam serangan balas, jadi sangat baik dapat melihat mereka menjaringkan dua gol menerusinya.
“Kami sangat gembira selepas tempoh yang sukar pemain-pemain kami masih kekal cergas. Kami sudah mengharungi ujian sukar, tetapi selepas rehat ia akan semakin sukar.
“Jurang masih kecil, kami mempunyai sedikit kelebihan tetapi masih banyak cabaran menanti,” kata Slot. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.