comscore
Tumpuan :
Sukan

EPL: Mampukah Man City, Villa hambat Liverpool?

Perancang Manchester City, Kevin De Bruyne kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan. – FOTO: AGENSI

MANCHESTER: Manchester City di landasan terbaik untuk merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris apabila beberapa tonggaknya kembali cergas untuk aksi di Newcastle awal pagi Ahad ini (waktu Malaysia).

City masih segar dengan kemenangan Piala Dunia Kelab di Arab Saudi dan mengutip mata penuh dalam dua aksi terakhir liga ketika pesaing-pesaingnya tercicir mata.

Juara bertahan itu kini ketinggalan lima mata di belakang Liverpool tetapi bermain kurang satu perlawanan dan jurang itu mampu dikurangkan kepada hanya dua mata sekiranya mereka menang ke atas Newcastle.

Kevin De Bruyne kembali beraksi dalam kemenangan 5-0 ke atas Huddersfied pada saingan Piala FA hujung minggu lalu selepas lima bulan berehat akibat kecederaan.

Pemain Belgium itu turut melakukan umpanan gol untuk rakan senegara, Jeremy Doku, yang beraksi buat pertama kali sejak Disember.

Erling Haaland juga bakal pulih sepenuhnya daripada kecederaan kaki yang menghalangnya daripada membantu City dalam lapan perlawanan terakhir.

“Kevin, Haaland, Phil (Foden), mereka mampu memenangi perlawanan – sebab itu mereka amat penting buat kami,” kata pengendali Man City, Pep Guardiola.

Kunjungan ke St James’ Park cukup penting buat anak buah Guardiola dalam misi mereka menjadi pasukan pertama memenangi liga tertinggi Inggeris empat musim berturut-turut.

Sementara itu harapan Man United untuk kembali memburu tempat dalam kelompok empat teratas terus diragui.

Skuad kendalian Erik ten Hag tewas sembilan kali dalam 20 perlawanan pertama liga musim ini dan tergelincir ke tangga kelapan – sembilan mata di bawah garis kelayakan Liga Juara-Juara Eropah.

Spurs pula terpaksa bertandang ke Old Trafford tanpa kaptennya, Son Heung-min yang bersama Korea Selatan dalam kejohanan Piala Asia.

Kemenangan di Old Trafford akan melonjak Spurs ke tangga keempat mengatasi Arsenal, dan hanya tiga mata di belakang pendahulu.

Liverpool tidak beraksi hujung minggu ini, sekali gus memberi peluang buat Aston Villa untuk menyamai kutipan mata anak buah Jurgen Klopp sekiranya menang di Everton.

Jadual perlawanan Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini:

Sabtu
Burnley mln Luton (3.45 pg)
Chelsea mln Fulham (8.30 mlm)

Ahad
Newcastle mln Manchester City (1.30 pg)
Everton mln Aston Villa (8.30 mlm)

Isnin
Manchester United mln Tottenham (12.30 pg)

Loading...
Terkini