MANCHESTER: Skuad kendalian Ange Postecoglou, Tottenham Hotspur melonjak ke tangga kelapan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Manchester United di Old Trafford malam tadi.
Gol-gol Tottenham Hotspur disumbang Brennan Johnson, Dejan Kulusevski dan Dominic Solanke, manakala malang bagi United apabila kaptennya, Bruno Fernandes dibuang padang pada minit ke-42 kerana mengasari James Maddison.
“Saya rasa ia persembahan yang luar biasa. Kami bermula baik, menjaringkan gol hebat dan sepatutnya mendapat dua atau tiga lagi. Tekanan terus diberi kepada mereka sehingga mereka mendapat kad merah.
“Selepas itu saya rasa kami mengawal permainan dengan baik. Persembahan yang cukup mengagumkan daripada pemain-pemain,” kata Postecoglou.
Tottenham membuka jaringan seawal minit ketiga apabila pemain pertahanannya, Micke van de Ven membawa bola jauh ke atas sebelum membuat hantaran kepada Johnson untuk meledak gol keempatnya dalam empat perlawanan.
“Sebelas lawan 11, atau 11 lawan 10, kami tetap menguasai permainan. Kami mempunyai perancangan yang teliti dan melakukan apa yang kami mahukan,” kata Johnson.
Tottenham menambah jaringan pada minit ke-47 apabila Lisandro Martinez terjatuh di tengah padang. Johnson memecut laju dan hantarannya disempurnakan oleh Kulusevski.
Jaringan Solanke pada minit ke-77 menyebabkan sebahagian penyokong tuan rumah mula meninggalkan stadium.
Penyokong Spurs mengejek tindakan penyokong tuan rumah itu dengan menyanyikan: “Ada latihan kebakaran ke?”
“Kami sedikit bergelut. Kami cuba bangkit, tetapi terlalu terburu-buru. Kami membuat kesilapan dan dihukum. Kad merah menjadikannya lebih buruk,” kata Fernandes.
Spurs sepatutnya menang lebih besar jika Onana tidak beraksi cemerlang menafikan tujuh lagi percubaan tepat pelawat. United hanya mempunyai dua percubaan tepat ke arah gawang Spurs.- REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa