comscore
Tumpuan :
Sukan

EPL: Morris selamatkan maruah Luton di Burnley

BURNLEY, ENGLAND: Carlton Morris menyumbat gol kontroversi lewat perlawanan ketika Luton Town membawa pulang satu mata dari Turf Moor selepas seri 1-1 dengan Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Tuan rumah kelihatan akan memenangi perlawanan itu selepas gol Zeki Amdouni pada babak pertama sebelum Morris menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-92.

Burnley membantah kerana mendakwa pemain Luton, Elijah Adebayo menghalang penjaga gol James Trafford, namun susulan semakan VAR, gol itu kekal.

“Saya masih baharu mengenai perkara pemilikan ini, jadi jika saya didenda oleh Liga Perdana, biarkanlah… Ini jelas satu kekasaran yang melampau,” kata pemilik bersama Burnley dan bekas pemain NFL, JJ Watt di laman X. “Gagal memutuskan perkara ini di tengah padang dan terlepas oleh VAR benar-benar mengaibkan.”

Pengurus Burnley, Vincent Kompany bingung dengan keputusan itu, memberitahu TNT “Saya sudah tak boleh terima.”

“Jelas ada cubaan untuk menyekat penjaga gol daripada menyelamatkan keadaan,” katanya.

Pemain Luton, Carlton Morris (kanan) meraikan bersama Elijah Adebayo selepas menyumbat gol penyamaan menentang Burnley pada aksi Liga Perdana Inggeris di Turf Moor, Burnley awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

“Ia satu pengalaman, ia bagus untuk mencuba, ia tidak menjejaskan apa-apa daripada persembahan Luton, saya fikir mereka amat menakjubkan hari ini, tetapi hanya ia detik yang mana pengadil perlu bertindak tepat.”

Luton kendalian Rob Edwards menghuni tangga ke-18 liga tetapi terikat mata 16 dengan pasukan tangga ke-17, Everton.

Burnley di tangga ke-19 dengan 12 mata, bagaimanapun beraksi lebih satu perlawanan berbanding lawan mereka.

“Satu mata dari gelanggang lawan dalam Liga Perdana amat besar, terutamanya buat pasukan dalam posisi kami,” kata Edwards kepada TNT.

Perlawanan itu dikuasai Luton sebelum Amdouni meledak masuk bertentangan dengan arah perlawanan pada minit ke-36 selepas Wilson Odobert mengatasi benteng pertahanan sebelum melambungkan hantaran lintang ke kotak penalti yang disambut Amdouni untuk menyumbat gol keempat buatnya dalam liga musim ini.

Namun Trafford dan Burnley kecewa pada masa kecederaan apabila penjaga gol itu jelas dihalang oleh Adebayo daripada mencabar bola yang menuju ke arah tengah kotak penalti sebelum ditanduk masuk Morris untuk memastikan satu mata buat pelawat. – REUTERS

Loading...
Terkini