Tumpuan :
Sukan

EPL: United menang perlawanan terakhir Nistelrooy sebagai pengurus sementara

MANCHESTER: Kapten Manchester United, Bruno Fernandes menjaringkan satu gol dan mencipta peluang untuk dua lagi jaringan dalam kemenangan 3-0 pasukannya ke atas Leicester City di Old Trafford, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menjadi perpisahan manis buat Ruud van Nistelrooy dalam perlawanan terakhirnya sebagai pengurus sementara.

Sejak pemecatan Erik ten Hag pada 28 Oktober lalu dan diambil sementara oleh Van Nistelrooy, United berjaya merekodkan tiga kemenangan dan satu seri dalam semua pertandingan, yang membawa mereka ke tangga ke-13 Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 15 mata, hanya tiga mata di belakang lima pasukan teratas.

Leicester pula berada di tangga ke-17 dengan lapan mata.

Fernandes yang tidak menjaringkan gol dalam 17 perlawanan terakhirnya di bawah Ten Hag meraikan penampilannya yang ke-250 bersama United dengan menjaringkan gol pada minit ke-17 selepas menerima hantaran daripada Amad Diallo.

Ia adalah gol keempat kapten itu dalam empat perlawanan di bawah bimbingan Van Nistelrooy.

Gol kedua United hadir pada minit ke-38 apabila bola terkena paha Fernandes sebelum terbias mengenai pemain pertahanan Leicester, Victor Kristiansen.

Alejandro Garnacho kemudian melengkapkan kemenangan United pada minit ke-82 dengan rembatan melengkung ke penjuru atas selepas menerima hantaran daripada Fernandes. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini