Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
PETALING JAYA: Kehangatan saingan Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang, MLBB M5 semakin terasa sebaik selesai sesi undian peringkat kumpulan hari ini.
Dan pastinya kedudukan pasukan yang mewakili Malaysia, HomeBois antara yang dinanti peminat-peminat tempatan bagi permainan ini.
Selepas proses undian yang dijalankan di Filipina hari ini, pasukan HomeBois diundi dalam kumpulan D bersama dengan wakil dari Rusia, DeusVult selain juara NACT dari Amerika Syarikat iaitu TheOhioBrothers.
Namun, cabaran paling getir sudah tentu hadir dari pasukan negara jiran, Indonesia iaitu pasukan Geek Fam ID yang merupakan naib juara MPL Indonesia.
Dengan ketiadaan pasukan juara M4, iaitu Echo dari Filipina, tumpuan kini pastinya terarah kepada kelibat pasukan juara MSC Asia Cup 2023 iaitu juara MPL Indonesia, ONIC Esports yang diundi dalam kumpulan A bersama wakil Kemboja, See You Soon, juara MPL MENA, Triple Esports dari Arab Saudi dan juga wakil Brazil, Bigetron Sons.
Sementara dalam kumpulan B, tumpuan pastinya terarah kepada juara M3, Blacklist International dari Filipina dan juara Liga LATAM dari Brazil, RRQ Akira selain pendatang baru dari China, Fire Flux Esports dan kumpulan ini akan dilengkapkan dengan kehadiran satu pasukan dari saingan ‘wild card’.
Satu lagi slot ‘wild card’ akan diletakkan dalam kumpulan C bersama juara MPL Filipina yang juga juara M2, iaitu AP Bren selain Burmese Ghouls dari Myanmar dan pasukan dari Singapura, Team Flash.
Turut berlangsung, undian kumpulan bagi saingan M5 Wild Card membabitkan persaingan 8 pasukan yang dibahagikan kepada 2 kumpulan.
Dan wakil Malaysia, Team SMG diundi dalam kumpulan A bersama dengan pasukan dari Nepal, 4Merical Esports selain Niightmare Esports Laos dan wakil Arab Saudi, Team Falcons.
Manakala kumpulan B akan dibarisi pasukan dari Argentina, Imperio bersama wakil China, KeepBest Gaming selain Team Lilgun dari Mongolia dan wakil Rusia, Umbrella Squad.
Saingan bagi M5 Wild Card dijadualkan berlangsung di Petaling Jaya, Selangor bermula 23 hingga 26 November ini dengan 2 slot ke saingan utama menjadi rebutan.
Sementara Kejohanan Dunia M5 pula akan mengambil tempat di Manila, Filipina bermula 2 hingga 7 Disember bagi saingan peringkat kumpulan dan 9 hingga 17 Disember untuk aksi peringkat kalah mati.
Kejohanan Dunia MLBB M5 menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah USD900,000.