comscore
Tumpuan :
Sukan

ESPORTS: HomeBois tepati ramalan, bergelar juara MPL MY musim ke 12, isi slot ke Kejuaraan Dunia M5

HomeBois julang trofi kejuaraan.

Oleh: Al Shaiful Nazib Talib

BUKIT JALIL: Pasukan HomeBois merakam kejuaraan kali pertama Liga Professional Mobile Legends Bang Bang, MPL Malaysia musim ke 12 selepas menumpaskan Team SMG pada perlawanan akhir yang berlangsung di Dewan Sri Putra di Bukit Jalil.

Lebih mengujakan, HomeBois turut mengisi slot tunggal Malaysia layak secara automatik ke Kejuaraan MLBB Dunia, M5 yang akan berlangsung di Filipina Disember nanti.

Pada pertarungan akhir yang menggunakan format ‘best of sevens’, seperti diramal pasukan HomeBois berjaya bergelar pemenang, namun tetap diberi tentangan sengit SMG sebelum menutup aksi dengan keputusan 4-3.

HomeBois

‘Game’ pertama, penguasaan awal disajikan Team SMG yang berjaya mengawal peta, malah turut dapat memusnahkan kesemua enam ‘outer turret’ HomeBois sehingga permainan memasuki minit ke 16.

Namun, kesilapan ketika cuba untuk merebut ‘lord’ menyaksikan Team SMG dihukum apabila HomeBois mula menguasai perlawanan.

Dan hukuman lebih berat dikenakan ke atas Team SMG apabila serangan balas pihak lawan sukar dikekang menyaksikan kemenangan pertama menjadi milik HomeBois.

‘Game’ kedua, permainan kemas Mohd Zul Hisham ‘Xorn’ Mohd Noor membuka banyak ruang kepada rakan sepasukan terutamanya Muhd Nazhan ‘Chibi’ Mohd Nor dan Wahyu ‘Raizel’ Saputra untuk mendapatkan ‘kill’.

Pemain HomeBois, Chibi sedang beraksi.

Paling sensasi, tindakannya menangkap Kenneth ‘Saxa’ Fedelin membolehkan Raizel mendapatkan ‘Maniacs’ sebelum mudah kristal Team SMG dijatuhkan dalam tempoh 11 minit untuk HomeBois meraih kemenangan kedua.

SMG bagaimanapun tidak memberikan kemenangan mudah kepada HomeBois apabila mereka berjaya menguasai ‘game’ ketiga.

Kesilapan yang dilakukan HomeBois ketika cuba mengunci ‘lord’ pantas dihukum Team SMG yang membuat serangan balas pantas sebelum kristal lawan dimusnahkan untuk kedudukan semasa 2-1.

‘Game’ keempat paling dramatik untuk disaksikan apabila penguasaan yang disajikan Team SMG selepas berjaya menjatuhkan semua pemain HomeBois terhenti seketika menantikan kehadiran ‘Minions’.

Namun, ia membuka ruang kepada HomeBois untuk melakukan pertahanan sebelum berjaya menjatuhkan tiga pemain Team SMG walaupun hayat kristal mereka hanya tinggal sedikit.

Dan serangan balas yang dilakukan sukar untuk dibendung Team SMG yang akhirnya terpaksa memberikan kemenangan ketiga kepada HomeBois.

Tidak mahu kecewa lagi, permainan lebih kemas harus dilakukan Team SMG selepas itu, namun seperti diduga, kawalan lebih baik dilakukan HomeBois untuk mendapatkan kemenangan lebih awal.

Xorn dipilih sebagai MVP.

Bagaimanapun, kesilapan berlaku lagi ketika cuba mendapatkan lord, dan agak sukar untuk Xorn yang menggunakan hero ‘Chou’ untuk berdepan tiga pemain lawan sebelum Team SMG lega menjadikan kedudukan semasa 3-2.

Dan momentum kemenangan itu diteruskan lagi Team SMG yang tampil lebih baik pada ‘game’ keenam.

Kali ini, kelibat ‘gold laner’, Lu Khai Bean ataupun Sasa paling menonjol menerusi penggunaan hero ‘Beatrix’ selepas dia mengumpul 12 ‘kills’, lebih utama, mendapatkan kemenangan untuk mengikat kedudukan semasa 3-3.

Dan segalanya ditentukan menerusi ‘game’ ketujuh dengan pemenang akan dinobatkan juara MPL Malaysia musim ke 12.

Kali ini, HomeBois tampil dengan permainan lebih agresif terutamanya menerusi aksi tangkas Chibi yang menggunakan hero ‘Martis’.

Pasukan HomeBois raikan kemenanagan

Hanya 14 minit diperlukan untuk memusnahkan kristal pasukan SMG, sekaligus mengesahkan kemenangan 4-3 menjadi milik mereka.

Paling istimewa, sudah tentu tiket automatik ke Kejohanan MLBB Dunia M5 yang ditawarkan kepada pemenang.

Selaku juara, HomeBois turut membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$25,000 dengan paling utama semestinya trofi kejuaraan MPL Malaysia yang kini sah menjadi milik pasukan HomeBois.

Apapun, peluang masih ada buat Team SMG untuk melayakkan diri ke saingan M5, namun perlu melalui saingan M5 Wildcard yang menawarkan dua tiket terakhir ke Filipina dengan kejohanan itu akan diadakan di Malaysia pada bulan November.

Loading...
Terkini