comscore
Tumpuan :
Sukan

EURO 2020 | England Tewaskan Denmark, Mara Ke ‘Final’ Bertemu Itali

Pemain England meraikan gol kedua mereka ketika perlawanan separuh akhir EURO 2020 antara England dan Denmark. FOTO: AFP

LONDON: England meneruskan langkahan menakjubkan dengan mengenepikan Denmark di peringkat separuh akhir EURO 2020 sebentar tadi.

Pertembungan di Wembley itu berkesudahan 2-1 di masa tambahan, sekaligus menamatkan penantian selama 61 tahun ’The Three Lions’ untuk mara ke perlawanan akhir sulung kejuaraan Eropah.

Lebih 66,000 penyokong membanjiri Stadium Wembley di London bagi menyaksikan pertembungan England dan Denmark di peringkat separuh akhir.

Kedua-duanya tampil dengan kekuatan tersendiri, England dibantu sorakan padu penyokong, sementara Denmark membawa reputasi juara 1992.

30 minit permainan berlangsung, Mikkel Damsgaard melakukan sepakan percuma memukau untuk menewaskan Jordan Pickford, yang juga jaringan pertama dilepaskannya dalam 6 perlawanan.

Tekanan yang dirasai England memaksa mereka ghairah mengasak lawan hinggalah bola lintangan Bukaya Sako tertampan ke gawang sendiri oleh ketua pasukan Denmark Simon Kjaer 9 minit selepas itu.

’The Three Lions’ mendominasi saingan dengan banyak melakukan percubaan tepat ke gawang lawan, tetapi berjaya dinafikan penjaga gol Kasper Schmeichel, memaksa aksi diheret ke masa tambahan.

Kekasaran ke atas Raheem Sterling pada minit ke-103 membuatkan pengadil Danny Makkelie memberikan penalti kepada England.

Sepakan diambil ketua pasukan Harry Kane gagal ditampan kemas sebelum penyerang itu menolak kembali bola ke dalam jaring untuk mendahului 2-1.

Denmark cuba bangkit, tetapi gagal mengubah keadaan hingga tamat 120 minit masa.

Kemenangan 2-1 itu membawa barisan Gareth Southgate ke perlawanan akhir pertama kejuaraan Eropah mereka sejak 1960 untuk berdepan Itali di gelanggang sama awal pagi Isnin nanti.

Kejayan menumpaskan Denmark juga mengubat kekecewaan dua kali tersekat di peringkat sama pada edisi 1968 dan 1996.

Loading...
Terkini