comscore
Tumpuan :
Sukan

Euro 2024: Denmark ikat England, Southgate kecewa

Harry Kane (kiri) meraikan jaringan ketika aksi Kumpulan C Euro 2024 menentang Denmark di Frankfurt Arena, Frankfurt. – Foto REUTERS

FRANKFURT: Hasrat England untuk layak awal ke pusingan kalah mati dinafikan Denmark apabila bangkit merakam keputusan seri 1-1 dalam aksi Kumpulan C Euro 2024 di Frankfurt Arena.

England bermula baik apabila Harry Kane meletakkan pasukan kendalian Gareth Southgate di depan pada minit ke-18 selepas mendapat hantaran Kyle Walker.

Denmark mula menggandakan asakan dan akhirnya kembali menyamakan kedudukan selepas rembatan Morten Hjulmand pada minit ke-34 gagal diselamatkan penjaga gol England, Jordan Pickford.

Morten Hjulmand meraikan jaringan ketika aksi Kumpulan C Euro 2024 menentang England di Frankfurt Arena, Frankfurt. – Foto REUTERS

Ia adalah kali pertama England dibolosi pada peringkat kumpulan Euro sejak jaringan penyerang Wales, Gareth Bale ketika edisi 2016.

England mampu bermain di tahap lebih tinggi, kata Southgate selepas dua perlawanan Kumpulan C.

“Jelas kami kecewa dengan persembahan pada dua perlawanan pertama, jadi kami perlu menganalisis secara terperinci dan mencari penyelesaian untuk masalah yang kami hadapi.

“Kami tahu tahap permainan kami boleh meningkat lebih tinggi. Ia adalah tanggungjawab saya. Saya sebagai pengendali perlu membimbing pasukan ini dengan cara terbaik untuk mencapai sesuatu yang luar biasa,” kata Southgate.

Keputusan seri itu menyaksikan England masih mendahului kumpulan dengan empat mata, diikuti Denmark dan Slovenia yang berkongsi dua mata, dengan Serbia di tangga keempat pada satu mata.

Saingan Kumpulan C masih terbuka dengan kemenangan pada perlawanan terakhir akan membuka peluang untuk mara ke pusingan kalah mati.

England akan bertemu Slovenia, manakala Denmark menentang Serbia pada awal pagi Rabu. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini