comscore
Tumpuan :
Sukan

Euro 2024: Perancis menang tipis, Mbappe patah hidung

Penyerang Perancis, Kylian Mbappe menerima rawatan ketika aksi Euro 2024 menentang Austria di Duesseldorf Arena, Duesseldorf awal pagi tadi. – FOTO: Reuters

DUESSELDORF: Perancis melepasi halangan pertama apabila meraih kemenangan tipis 1-0 dalam aksi sulung mereka di pentas Euro 2024 hasil jaringan sendiri pemain Austria.

Austria yang tewas sekali dalam 16 perlawanan terakhir mereka beraksi dengan baik dan hampir berada di depan menerusi Christoph Baumgartner pada minit ke-37.

Namun, seminit kemudian Perancis meraih jaringan pembukaan apabila kapten Perancis, Kylian Mbappe membawa bola ke garisan tepi dan membuat hantaran yang tertampan pemain Austria, Max Wober sebelum menerjah jaring.

Nasib tidak menyebelahi Mbappe, apabila dilaporkan patah hidung selepas kepalanya terkena bahu pertahanan Austria, Kevin Danso ketika sedang merebut bola dan menyebabkan hidung penyerang itu mengalami kecederaan.

Bintang baharu Real Madrid itu meninggalkan padang pada minit ke-90 dengan hidung berdarah.

Perlawanan diteruskan selepas insiden pertembungan tidak sengaja itu dengan Mbappe terduduk di kubu lawan sebelum penjaga gol Austria, Patrick Pentz memberi isyarat kepada pengadil yang pemain berkenaan memerlukan perhatian.

Dia kembali memasuki padang dan segera duduk pada ketika pengadil melayangkan kad kuning kepadanya kerana memasuki perlawanan tanpa menerima kebenaran.

Mbappe kemudian digantikan dengan penyerang veteran Olivier Giroud.

“Keadaan hidungnya tidak begitu baik… apa yang jelas ia adalah satu titik buruk dalam perlawanan ini. Ia sangat membimbangkan kami,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps selepas tamat perlawanan.

Selepas ini, Perancis akan bertemu pendahulu Kumpulan D, Belanda pada Sabtu ini. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini