comscore
Tumpuan :
Sukan

Euro 2024: Republik Czech tumbang disaat akhir, Hasek bengang

Pemain Portugal, Francisco Conceicao memastikan kemenangan buat skuad kendalian Roberto Martinez dalam masa kecederaan dalam aksi Kumpulan F Euro 2024 – FOTO: Reuters

LEIPZIG: Portugal bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Republik Czech 2-1 dalam saingan Kumpulan F Euro 2024 di Stadium Leipzig sebentar tadi.

Selepas babak pertama berakhir tanpa jaringan, dengan beberapa percubaan Portugal dinafikan penjaga gol Republik Czech, Jindrich Stanek, skuad kendalian Ivan Hasek akhirnya memecah kebuntuan menerusi Lukas Provod pada minit ke-62.

Portugal bagaimanapun kembali menyamakan kedudukan selepas Nuno Mendes menanduk bola ke depan gawang Rep Czech, dan Stanek sekadar menampan bola ke kaki Robin Hranac dan menerjah gawang sendiri.

Jaringan itu merancakkan lagi asakan Portugal yang berjaya meledak gol kedua menerusi Diogo Jota, tetapi jaringan berkenaan dibatalkan VAR selepas Cristiano Ronaldo didapati berada dalam kedudukan ofsaid.

Portugal terus berusaha mencari jaringan dan Francisco Conceicao memastikan kemenangan buat skuad kendalian Roberto Martinez dalam masa kecederaan.

Jaringan lewat Portugal pada minit ke-92 meninggalkan kesan mendalam buat Hasek.

 

“Saya marah. Kami bermain menentang salah satu pasukan terbaik di dunia dan ia seri (sehingga masa penuh). Sayang sekali apabila melepaskan gol pada minit terakhir tetapi anda dapat melihat kualiti dimiliki,” kata Hasek.

“Kami tidak memberikan laluan mudah buat Portugal, ketika kami bertahan kami tidak memberikan mereka banyak ruang untuk mencipta jaringan.

“Pertahanan kami berusaha dengan amat baik biarpun menerima tekanan. Kami tidak mahu begitu tetapi Portugal mempunyai kualiti yang hebat di bahagian serangan dan ia memaksa kami bertahan.”

Republik Czech akan menentang Georgia, manakala Portugal akan bertemu pendahulu kumpulan, Turkiye pada aksi kedua Sabtu ini. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini