
BARCELONA: Sepanyol membelasah Cyprus 6-0 untuk melonjak ke tangga kedua Kumpulan A sekaligus menghidupkan kembali peluang mereka dalam kempen kelayakan Euro 2024.
La Roja kini dua mata di depan Norway yang bermain lebih satu perlawanan.
Bagaimanapun Sepanyol masih ketinggalan di belakang Scotland yang menewaskan skuad kendalian Luis de la Fuente dan memenangi kelima-lima perlawanan mereka setakat ini.
Pemain gantian, Ferran Torres meledak dua gol, manakala Gavi, Mikel Merino, Joselu dan Alex Baena, yang membuat penampilan sulung, turut menemui sasaran.
“Matlamat kami sangat jelas – menang kesemua baki perlawanan. Kami mahu menamatkan saingan sebagai juara kumpulan,” kata De la Fuente.
Lamine Yamal, yang menjadi pemain dan penjaring termuda Sepanyol dalam kemenangan 7-1 ke atas Georgia di Tbilisi minggu lalu, kini mencatat rekod sebagai pemain termuda memulakan permainan, pada usia 16 tahun 61 hari.
Sebelum perlawanan dimulakan, kedua-dua pasukan bertafakur seketika bagi mengingati mangsa gempa bumi di Maghribi dan banjir di Libya. – AGENSI