comscore
Tumpuan :
Sukan

EURO 2024: Ukraine, Poland, Georgia tempah tempat ke pusingan akhir

Pemain Ukraine Illia Zabarnyi dan Volodymyr Brazhko meraikan kemenangan selepas layak ke Euro 2024

PARIS: Ukraine bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Iceland pada play-off sekali gus layak ke Euro 2024 awal pagi tadi, manakala Poland menempah tempat mereka pada pusingan akhir selepas menang penentuan penalti ke atas Wales dan Georgia layak buat julung kali ke kejohanan utama.

Ukraine berhasrat untuk layak ke kejohanan pertama sejak serangan Russia ke atas negara itu dua tahun lalu dan mereka menyingkirkan Iceland 2-1 pada perlawanan yang diadakan di bandar raya Poland, Wroclaw.

Albert Gundmundsson melenyapkan sorakan penonton apabila meletakkan Iceland di depan selepas setengah jam.

Bagaimanapun, Ukraine menyamakan kedudukan sembilan minit selepas rehat menerusi gol cantik Viktor Tsygankov.

Enam minit sebelum tamat, Ukraine meraih gol kemenangan apabila pemain Chelsea, Mykhailo Mudryk merembat masuk dari penjuru kotak penalti.

Ukraine kini boleh bersedia menghadapi Kejohanan Eropah yang bermula pada 14 Jun depan di Jerman dalam Kumpula E di samping Belgium, Slovakia dan Romania.

Dalam pada itu, Poland berdepan Kumpulan D yang lebih sukar di Euro bersama Perancis, Belanda dan Austria selepas menyingkirkan Wales pada penentuan penalti mendebarkan di Cardiff.

Perlawanan itu berakhir 0-0 selepas 90 minit dan tiada sebarang gol pada masa tambahan, yang berakhir dengan pemain Wales, Chris Mepham dibuang padang kerana menerima kad kuning kedua.

Penentuan penalti berkualiti, yang bermula dengan Robert Lewandowski menyempurnakan sepakan pertama Poland, menyaksikan sembilan penalti yang berjaya sebelum sepakan Daniel James diselamatkan dan Wales tumbang 5-4.

Tiada penampilan ketiga berturut-turut Kejohanan Eropah buat Wales, yang layak ke separuh akhir pada 2016, namun Poland tampil buat kali kelima berturut-turut pada kejohanan sebenua itu.

Terdahulu, Georgia melakar sejarah apabila mara ke kejohanan utama buat julung kali sejak negara di Caucasus dengan 3.7 juta penduduk itu mendapat kemerdekaan daripada Soviet Union pada 1991.

Mereka menewaskan Greece 4-2 menerusi penentuan penalti selepas seri 0-0 pada hujung masa tambahan di Tbilisi, mencetus suasana kegembiraan apabila penyokong menceroboh masuk ke padang di Stadium Boris Paichadze. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini