
Faisal bintang paling menyerlah
KUALA LUMPUR: Perjuangan Harimau Malaya dalam saingan Piala AFF 2022 berakhir di pentas separuh akhir selepas tunduk menerusi agregat 1-3 kepada juara bertahan, Thailand.
Pencapaian itu memperbaiki prestasi Harimau Malaya yang terkandas seawal peringkat kumpulan pada edisi 2020 walaupun skuad kali ini dibarisi ramai muka baharu.
Jika melihat dari sudut positif, ketiadaan bintang seperti Arif Aiman Hanapi, La’Vere Corbin-Ong, Matthew Davies, Dion Cools dan Nor Azam Azih seakan memberi ruang kepada beberapa pemain terutama muka baharu menyerlahkan bakat dan keupayaan mereka di pentas antarabangsa.
Keadaan itu turut menyaksikan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon kini memiliki banyak pilihan atau kumpulan pemain yang lebih besar bagi menghadapi pusingan akhir Piala Asia 2023, tahun depan.
Berikut adalah antara pemain yang paling menyerlah dalam enam perlawanan yang diharungi skuad Harimau Malaya sepanjang kempen Piala AFF 2022 dan berkemungkinan besar turut dipanggil untuk kejohanan Piala Asia 2023.
Faisal Halim
Pemain berusia 25 tahun ini menjadi penyerang paling tajam dan pemain paling menyerlah dalam skuad Harimau Malaya dengan dia meledak empat gol keseluruhan.
Justeru, dia boleh dikatakan sebagai ayam tambatan atau sasaran utama barisan hadapan Harimau Malaya dalam mendapatkan jaringan.
Beraksi 488 minit (tidak termasuk masa kecederaan), Faisal meledak dua gol penting apabila jaringannya berjaya membantu Harimau Malaya menewaskan Myanmar dan Thailand 1-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan B dan separuh akhir pertama.
Brendan Gan
Berusia 34 tahun, Brendan beraksi penuh dalam empat daripada enam perlawanan Harimau Malaya di Piala AFF 2022 iaitu ketika berdepan Myanmar, Vietnam, Singapura dan separuh akhir pertama berdepan Thailand.
Sumbangan besar pemain tengah Selangor itu buat Harimau Malaya bagi kejohanan Piala AFF kali ini tidak boleh dinafikan walaupun lebih banyak diberi tanggungjawab membantu bahagian pertahanan oleh Pan Gon.
Prestasi paling baik Brendan ketika berdepan Singapura dan aksi separuh akhir pertama berdepan Thailand yang mana Harimau Malaya menang 4-1 dan 1-0 dalam dua perlawanan itu.
Stuart Wilkin
Menyertai skuad kebangsaan buat kali pertama, Wilkin membuktikan bahawa dia berhak menyarung jersi Harimau Malaya berdasarkan persembahan yang dipamerkan sepanjang Piala AFF 2022.
Selain menjadi perancang di bahagian tengah, Wilkin turut memiliki ketajaman penyudah apabila meledak tiga gol dan muncul penjaring kedua terbanyak dalam skuad Harimau Malaya bagi Piala AFF 2022.
Prestasi cemerlang dipamerkan pemain berusia 24 tahun itu ketika menentang Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan B dengan dia meledak dua gol dan muncul pemain terbaik perlawanan.
V Ruventhiran
Baru berusia 21 tahun, kejohanan Piala AFF 2022 kali ini seakan membawa tuah buat Ruventhiran apabila dia dilihat berjaya membuktikan kemampuannya bersama skuad senior kebangsaan dan bersaing di pentas antarabangsa.
Memikul tugas berat selaku pertahanan kiri yang sebelum ini digalas Corbin-Ong, keupayaan Ruventhiran harus dipuji dengan dia antara pemain paling kuat berlari termasuk membantu bahagian serangan ketika Harimau Malaya menyerang.
Dia turut mendapat motivasi terbaik selepas dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan separuh akhir pertama berdepan Thailand.
Ahmad Syihan Hazmi Mohamed
Memainkan peranan sebagai benteng terakhir, Ahmad Syihan boleh dikatakan memainkan peranan yang baik apabila beraksi dalam lima perlawanan di Piala AFF 2022.
Detik manis dikecapi penjaga gol berusia 26 tahun ini sudah pasti ketika dia menyelamatkan penalti Myanmar pada masa kecederaan untuk membantu Malaysia meraih kemenangan 1-0 pada aksi sulung peringkat kumpulan. – BERITA HARIAN