comscore
Tumpuan :
Sukan

Faisal tinggalkan Terengganu, belum sedia umum pasukan baharu

FOTO: Terengganu FC / Facebook

KUALA TERENGGANU: Selepas jurulatih Nafuzi Zain menghulurkan salam perpisahan buat Terengganu FC (TFC) musim depan, kini giliran pemain sayap, Mohd Faisal Halim mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada peminat setia skuad Penyu itu.

Bagaimanapun pemain berusia 24 tahun kelahiran Pulau Pinang itu belum bersedia lagi untuk mengumumkan destinasinya pada musim depan kerana mahu berehat terlebih dahulu selepas mengharungi musim mencabar bersama TFC.

Namun yang pasti pemain kebangsaan berketinggian 1.58 meter itu tidak akan mengikut jejak Nafuzi pada musim depan walaupun sebelum ini dia mengesahkan tidak mahu ‘berpisah’ dengan jurulatih muda itu.

Difahamkan pemain yang mencipta sensasi bersama skuad Penyu itu bakal menyarung jersi skuad kendalian Tan Cheng Hoe, Selangor FC pada musim depan walaupun empat lagi pasukan berminat untuk mendapatkan khidmatnya termasuk Sri Pahang FC selain TFC yang sudah memberikan tawaran baharu kepadanya.

“Sudah tentu saya tidak akan bersama TFC lagi pada musim depan, pertemuan dengan Selangor FC pada aksi separuh akhir kedua adalah yang terakhir buat saya bersama TFC, saya cuba buat yang terbaik pada aksi terakhir itu, tapi saya gagal, bermakna saya belum cukup bagus untuk diangkat sebagai bintang.

“Selama dua tahun saya berada di Terengganu, pihak pengurusan menjaga saya dengan baik, begitu juga jurulatih, Nafuzi yang berada di belakang saya, apa yang boleh saya katakan inilah masa yang terbaik untuk saya, lagipun tahun ini adalah tahun yang luar biasa TFC.

“Buat Nafuzi, saya mohon maaf kerana tidak dapat bersama satu haluan dengan beliau pada musim depan kerana saya perlu buat keputusan demi keluarga dan masa depan, bukannya faktor gaji.

“Saya harap beliau dapat memahami situasi ini dan memaafkan saya,” katanya sebak ketika ditemui selepas berakhir perlawanan menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam kelmarin yang berakhir dengan pasukannya merakam kemenangan 1-0.

Mengulas lanjut, Faisal akui begitu teruja dengan sokongan padu peminat setia TFC sepanjang dua musim bersama skuad itu terutama membantu pasukan mara ke pentas final Piala FA dan menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua.

“Terima kasih kerana menyokong dan memberi kata-kata semangat, saya akan merindui mereka, sebenarnya saya tidak mahu keluar daripada pasukan TFC, tapi jodoh saya tidak panjang, mungkin satu hari nanti jika ada peluang saya akan kembali.

“Sekarang saya menanti panggilan daripada skuad kebangsaan, sekiranya tidak dipanggil, saya mahu rehat mental dan fizikal terlebih dahulu sebelum mengumumkan pasukan yang bakal diwakili musim depan,” katanya yang mengakui sudah mencuba yang terbaik sepanjang 90 minit perlawanan untuk membantu TFC layak ke pentas final sekali lagi musim ini selepas Piala FA, tapi gagal selepas tumpas secara agregat 3-2 kepada Gergasi Merah itu. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini