KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan berusaha sedaya upaya bagi menyempurnakan tuntutan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menyediakan pelan perancangan dan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) untuk skuad Harimau Malaya dalam masa terdekat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman menjelaskan badan induk itu akan mengadakan perbincangan bersama barisan kepemimpinan dan juga barisan kejurulatihan untuk mengatur perancangan yang terbaik dalam memastikan Harimau Malaya dapat terus meningkat ke tahap lebih tinggi.
Malah, Noor Azman turut menyifatkan ia sebagai cabaran yang perlu diharungi FAM dan juga skuad kebangsaan selepas Anwar mahu melihat skuad Harimau Malaya kembali ‘mengaum’ sebagai antara gergasi Asia.
“FAM akan merealisasikan hasrat Perdana Menteri untuk melihat prestasi skuad Harimau Malaya berada pada tahap terbaik dan digeruni lawan.
“Kami akan mengadakan perbincangan dalam tempoh terdekat ini sebelum membentangkan perkara itu kepada Perdana Menteri.
“Banyak penambahbaikan akan dilakukan untuk skuad Harimau Malaya sejajar dengan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan baru-baru ini,” katanya.
Semalam, Anwar mahu badan induk itu perlu menyediakan pelan perancangan dan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) untuk menjamin peningkatan prestasi skuad Harimau Malaya.
Perkembangan itu dikongsikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi satu kemas kini di laman media sosialnya selepas Hannah mengiringi Anwar yang mengadakan pertemuan dengan barisan kepemimpinan FAM.
“Tuntutan itu dikemukakan sebagai balasan kepada komitmen kerajaan yang bersetuju memberi peruntukan RM15 juta untuk membantu usaha memperkasakan pasukan kebangsaan, termasuk skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan.
“KBS akan mendapatkan khidmat bantuan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk melakukan penilaian semula keberkesanan Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) yang dikendalikan Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN) supaya penambahbaikan boleh dilakukan,” kata Hannah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.