comscore
Tumpuan :
Sukan

FAM Enggan Beri ‘Muka Lagi’

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed. – FOTO : NSTP

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) takkan beri ‘muka lagi’ apabila wajib buat semua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia menghantar pasukan dalam saingan anjuran FAM iaitu Piala Presiden dan Piala Belia musim depan.

Ingatan itu diberikan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed yang mahu setiap pasukan melakukan perancangan sebaiknya.

“Tahun depan semua pasukan wajib untuk hantar pasukan dalam Piala Presiden dan Piala Belia kerana perkara itu memang dah ada dalam peraturan sedia ada.

“Pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia di Liga Super wajib menghantar pasukan pembangunan dalam liga anjuran FAM kerana ini adalah sebahagian daripada komitmen menyediakan landskap bola sepak yang lengkap dari atas hingga bawahan,” katanya kepada Arena Metro.

Untuk rekod, dua pasukan iaitu Kelantan FC dan Perak FC antara pasukan yang tidak menyertai pertandingan anjuran FAM musim ini.

Berdasarkan peraturan, FAM boleh mengenakan hukuman buat pasukan yang gagal mematuhi syarat itu.

Dalam perkembangan sama, Firdaus yang juga naib Presiden FAM mengesahkan pihaknya mengubah had umur pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia mulai musim depan bagi diselaraskan dengan kitaran had umur pertandingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Jawatankuasa Pertandingan FAM bersetuju untuk mengubah had umur kedua-dua pertandingan mulai musim 2023 bagi memastikan ia dapat memenuhi objektif untuk menyediakan pemain bagi menyertai pertandingan peringkat umur AFC dan juga AFF.

“Jawatankuasa Pertandingan FAM juga dalam perancangan untuk mengubah semula struktur pertandingan sedia ada yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Ia supaya kembali diperkasakan dengan dapat memberi lebih jumlah perlawanan dan minit permainan, demi pembangunan dan perkembangan pemain muda supaya mereka lebih bersedia untuk beraksi di peringkat lebih tinggi dalam saingan domestik dan pentas antarabangsa,” katanya.

Ini bermakna, saingan Piala Presiden selepas ini diubah daripada B-21 kepada B-20 dan Piala Belia dari B-19 ke B-18. – Harian Metro

Loading...
Terkini